Pipit sama pipit, enggang sama enggang. Mungkin pepatah ini sesuai buat Alan Richard Schmitt 77 tahun yang kemaruk mahu mencari kekasih muda.
Kerana teringin mahukan pucuk muda, dia masuk mendaftar dalam lamanweb mencari kekasih Plenty of Fish. Semasa mendaftar secara online, dia tidak menyatakan usia sebenarnya.
Harapannya untuk mendapat kekasih muda remaja semakin cerah apabila seorang gadis berusia 23 tahun (nama dirahsiakan) berminat mahu berkenalan dengannya.
Selepas chatting dan saling berkenal-kenalan, mereka bersetuju bertemu untuk mengenal hati budi masing-masing dengan lebih mendalam.
Masa dan tempat pun ditetapkan untuk berjumpa. Schimitt yang tinggal di Colonial Beach menempuh perjalanan selama 2 jam untuk bertemu bakal kekasih mudanya.
Sebaik bertemu, gadis itu terkejut kerana Schmitt tidak seperti yang diharapkannya. Rupanya dia seorang lelaki tua berusia 77 tahun. Schmitt lebih tua daripada yang dijangkanya.
Tidak mahu mengecewakan Schmitt, dia berterus terang supaya hubungan mereka sekadar teman biasa saja, tidak lebih dari itu.
Selepas berbual-bual sebagai teman tapi mesra, Schmitt pun membawa gadis itu ke mall untuk membeli-belah. Hari itu Schmitt terpaksa menghabiskan USD400 untuk membeli pakaian teman barunya, dengan harapan gadis tersebut akan mengubah fikiran dan sudi menerimanya.
TAPI segalanya sia-sia belaka. Gadis itu tetap saja menganggapnya teman biasa. Merasa yang dirinya dipermainkan, sampai saja di kediaman gadis tersebut, Schmitt meminta supaya semua pakaian yang baru saja dibelinya dipulangkan, termasuk pakaian baru yang dipakai olehnya.
Akhirnya berlaku pertengkaran. Gadis itu bertegas tidak mahu membuka baju baru yang dipakainya. Marah dengan kedegilan itu, Schmitt lantas mencekak leher gadis tersebut, lalu menolaknya sehingga terjatuh. Masih tidak berpuas hati, Schmitt duduk di atas badan gadis itu dan mencekiknya sehingga sesak nafas.
Akibatnya Schmitt ditangkap polis atas dakwaan mencederakan orang. Perbicaraan akan diadakan pada 14 November ini.
Kini harapannya untuk mendapat kekasih muda tidak kesampaian. Malah berisiko untuk dipenjarakan.
Kalaulah dia bersabar sedikit, mungkin lambat laun gadis itu akan menerimanya. Hari ini belikan baju, minggu depan hadiahkan iphone, bulan depan bawa melancong untuk kenal lebih dekat. Pasti hatinya akan cair. Kalau bernasib baik, mungkin hari ini gadis itu sudah tidur dalam rangkulannya. 😀 😀
Comments
comments