loading...

APMM Kelantan Bantu 2 Calon Terkandas

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan hari ini membantu membawa dua pelajar yang terkandas di Pulau Perhentian ke tanah besar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah, Besut, Terengganu.

Pengarahnya, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Siti Nur Atiqah Azman dan Nor Fadilah Mohd Zaki, masing-masing 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan itu esok, terkandas di pulau berkenaan berikutan tiada bot untuk membawa mereka keluar susulan keadaan laut bergelora ketika ini.

“Kedua-dua pelajar berkenaan pulang ke pulau itu Khamis lepas untuk menzirahi keluarga yang sakit bagaimanapun tidak dapat pulang semula ke asrama sekolah kerana keadaan laut bergelora,” katanya kepada pemberita di Pejabat APMM Tok Bali di sini.

Nurul Hizam berkata dua pelajar terbabit dibawa ke Jeti APMM Tok Bali pada 3 petang tadi menggunakan Bot Penyelama 7, selepas menerima aduan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Perhentian, Zainuddin Mohamad.

Beliau berkata kedua-dua pelajar itu akan menduduki peperiksaan bagi subjek Ekonomi Asas Kertas 1 dan 2.

Sementara itu, Siti Nur Atiqah berkata dia dan rakannya bercadang pulang semula ke asrama sekolah semalam menaiki bot tambang tetapi cuaca buruk menyebabkan operasi bot dihentikan.

Katanya tanpa bantuan daripada APMM, mereka tidak mungkin dapat menduduki peperiksaan penting itu.

Penyelia Kanan Peperiksaan Pejabat Pendidikan Daerah Besut, Hasrie Ismail berkata pihaknya menghargai jasa APMM membantu kedua-dua pelajar berkenaan. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...