loading...

13,873 Mangsa Banjir Di Kelantan Malam Ini

KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 13,873 orang pada pukul 9 malam ini berbanding 13,003 orang pada 5 petang tadi.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa daripada 5,493 keluarga itu masih ditempatkan di 62 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima jajahan membabitkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 10,445 orang daripada 4,352 keluarga yang ditempatkan di 41 PPS, diikuti Tumpat dengan 2,245 mangsa daripada 788 keluarga dipindahkan ke enam PPS.

Selain itu, 828 mangsa daripada 247 keluarga masih tinggal di lapan PPS di Pasir Puteh, 214 mangsa daripada 63 keluarga masih menghuni empat PPS di Kota Bharu dan 141 mangsa daripada 43 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Tanah Merah.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dilaporkan menurun kepada 10.34 meter pada pukul 8 malam ini berbanding 10.39 meter pada 4 petang tadi. Paras bahaya ialah sembilan meter.

Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula menunjukkan penurunan kepada 3.71 meter berbanding 3.71 meter dalam tempoh sama. Paras bahaya ialah 2.50 meter.

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan setakat tengah hari tadi manakala cuaca pada malam ini hujan renyai-renyai di beberapa tempat. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...