loading...

UniMAP Kini Dalam Kelompok Universiti Terbaik Dunia

ALMATY, Kazakhstan – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kini berada dalam kelompok 300 universiti terbaik dunia bagi bidang kejuruteraan mekanikal (Aeronautikal dan Pembuatan) berdasarkan rekod terkini QS World University Rangkings mengikut subjek.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pencapaian cemerlang UniMAP juga dibuktikan dalam bidang Kejuruteraan Elektronik dan Elektrikal apabila universiti itu disenaraikan berada dalam kelompok 350 universiti terbaik dunia.

Baginda bertitah demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama akademik antara UniMAP dan Al-Farabi Kazakh National University di sini hari ini.

UniMAP diwakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan manakala Al-Farabi Kazakh National University oleh rektornya Galimkair Mutanov.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor UniMAP bertitah bahawa kesemua 21 program kejuruteraan konvensional yang ditawarkan oleh UniMAP mendapat akreditasi daripada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).

Menurut baginda Al-Farabi Khazakh National University menunjukkan minat untuk menjalin kerjasama dengan UniMAP dalam penerokaan bidang-bidang media baharu, kewangan Islam dan perniagaan antarabangsa.

Hadir sama menyaksikan majlis itu ialah Timbalan-timbalan Rektor Al-Farabi Kazakh National University iaitu Aizhan Smailova dan Tlekkabul Ramazanov.

Sempena majlis itu baginda menerima anugerah kehormat Pingat International Al-Farabi Friend’s Club yang merupakan anugerah tertinggi berbentuk pingat emas dan sijil pengiktirafan daripada universiti itu.

Rektornya, Galimkair Mutanov menyematkan pingat emas itu pada baginda.

Dalam setahun hanya dua orang ternama menerima anugerah daripada universiti yang mempunyai 20,000 pelajar itu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut dibawa melawat bangunan rektorat yang menempatkan muzium universiti, perpustakaan, kompleks hal ehwal pelajar dan pusat keselamatan.

Baginda turut meninjau kompleks sukan universiti berkenaan yang melahirkan ramai jaguh sukan ternama Kazakhstan.
Antara pencapaiannya ialah sebanyak 17 atlet di kalangan pelajar universiti itu telah membawa cabaran Kazakshtan pada Sukan Olimpik Rio De Jeneiro tahun lalu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra tiba di Almaty semalam selepas menamatkan program Jelajah Ilmu UniMAP di Azerbaijan selama empat hari yang padat dengan pelbagai kegiatan. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...