loading...

Mahasiswa Jangan Terpedaya Pelaburan Mata Wang Digital

KUALA LUMPUR – Mahasiswa diminta tidak terpedaya dan mengambil risiko tinggi dengan membuat pelaburan dalam Bitcoin yang membabitkan mata wang digital atau mata wang kripto.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata ini kerana pada masa ini tiada garis panduan perundangan tetap mengenai penggunaan mata wang digital itu.

“Bagi saya, tidak perlu (melabur) kerana Bitcoin ini terlalu spekulatif dan samar-samar tanpa garis panduan tetap.

Jadi lebih baik kita tunggu satu garis panduan yang bakal dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) terlebih dahulu,” katanya pada forum ‘Kos Sara Hidup Anak Muda: Cabaran dan Solusi’ sempena Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas), di sini hari ini.

Baru-baru ini, Gabenor BNM Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata pihaknya akan mengeluarkan garis panduan berkenaan mata wang kripto menjelang akhir tahun ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata sebaiknya mahasiswa melaburkan simpanan mereka dalam pelaburan yang dilindungi undang-undang dan diiktiraf kerajaan.

Pemanas, bertemakan ‘Mahasiswa Arkitek Alaf Baru’, dihadiri kira-kira 350 mahasiswa daripada universiti awam dan swasta di seluruh negara bagi membincangkan pelbagai isu anak muda khususnya berkaitan mahasiswa.

Forum itu juga sebahagian daripada program menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang akan bermula Selasa ini.

Menyentuh mengenai kos sara hidup yang kian meningkat, Hamzah berkata mahasiswa perlu bijak merancang perbelanjaan harian mereka.

Katanya kenaikan harga barang adalah satu perkara biasa terutama apabila sesebuah negara itu berubah dan menuju ke arah negara yang lebih maju. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...