TATKALA pihak pembangkang gigih sebar propaganda jahat hasut rakyat negara ini boikot Utusan Malaysia, tanpa disedari akhbar maya terbitan Kumpulan Utusan itu pula mulai semakin popular.
Terkini, firma pengauditan antarabangsa, Audit Bureau of Circulations (ABC) mengesahkan Utusan Malaysia terus kekal sebagai akhbar elektronik atau e-paper berbahasa Melayu terlaris di dunia dengan peningkatan luar biasa.
Data yang dikeluarkan itu serentak dengan laporan edaran bersih akhbar fizikal tempatan, menunjukkan Utusan Malaysia versi digital mencatatkan sebanyak 138,473 langganan untuk tempoh dari Januari sehingga Jun lalu.
Mula diterbitkan pada 30 November 2012, angka kali ini cipta rekod hampir sekali ganda mengatasi cuma 73,643 langganan dari Julai hingga Disember tahun lepas dan 7,081 langganan untuk tempoh separuh masa pertama 2016.
Bermula cuma 995 langganan pada separuh masa pertama 2013, e-paper Utusan Malaysia memintas Berita Harian pada separuh kedua 2014, sekali gus mengatasi kedudukan saingan terdekatnya yang diterbitkan awal sejak 2012.
Akhbar elektronik terbitan Media Prima Berhad itu sekadar 47,364 langganan manakala edisi BH Ahad pula 45,682 langganan selain dua lagi keluaran oleh gergasi akhbar tersebut, Harian Metro (27,137) dan Metro Ahad (26,283).
Baca: Mingguan, Kosmo! Kekal Laris Separuh Pertama 2017
Turut mencipta rekod ialah akhbar maya Mingguan Malaysia yang mencatatkan 139,196 langganan untuk separuh pertama tahun ini, melonjak berbanding hanya sebanyak 71,755 langganan dari Julai sehingga Disember tahun lalu.
Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia versi digital turut digemari pembaca seluruh dunia kerana boleh diakses seawal jam 5 pagi waktu Malaysia dan mengandungi semua edisi wilayah dengan kos harga langganan berpatutan.
Peningkatan luar biasa itu menyaksikan dua akhbar maya terbitan Kumpulan Utusan kini sudah mengatasi e-paper popular Daily Star dan Sunday Star terbitan Kumpulan The Star yang masing-masing cuma 115,460 dan 114,518.
Dalam pada itu, akhbar digital berbahasa Cina terlaris, Sin Chew Daily pula merekodkan kemerosotan signifikan apabila sekadar 64,045 langganan bagi tempoh sama berbanding 73,613 langganan pada enam bulan kedua 2016.
Secara keseluruhan ABC melaporkan edaran bersih 18 judul akhbar elektronik tempatan dari Januari sehingga Jun lalu sebanyak 1,001,524 langganan jika dibandingkan hanya 697,513 langganan pada separuh kedua tahun lepas.
Trend populariti akhbar maya ini membuktikan peralihan signifikan minat pembaca tempatan mulai lebih gemar mengikuti akhbar arus perdana dalam versi digital yang lebih luas akses capaian liputannya. – Mynewshub.cc/HAA
Loading...