loading...

Pembocoran Dokumen: SPRM Akan Buat Laporan Polis

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat laporan polis berhubung pembocoran dokumen kenyataan rakaman percakapan melibatkan kes bekas Exco Negeri Johor yang disiasat SPRM pada awal tahun ini di media sosial.

Dalam kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata SPRM memandang serius isu tersebut dan laporan polis akan dibuat supaya mereka yang bertanggungjawab menularkan dokumen-dokumen itu diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

“Ingin ditegaskan, pembocoran kenyataan sedemikian adalah bersifat prejudis memandangkan kes tersebut masih dalam perbicaraan mahkamah,” katanya.

Azam berkata dokumen kenyataan rakaman percakapan seorang daripada tertuduh telah diberikan kepada peguambela atas permintaan mengikut undang-undang sedia ada untuk tujuan pembelaan selepas suspek dituduh.

“Berhubung satu jadual pembayaran yang dimuat naik di media sosial yang dikaitkan dengan siasatan tersebut, SPRM berpendapat ia telah sengaja diada-adakan untuk mengelirukan masyarakat.

“Memandangkan kes melibatkan bekas Exco Negeri Johor masih dalam perbicaraan, maka SPRM khuatir pembocoran dokumen-dokumen tersebut akan mengganggu prosiding mahkamah,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...