Kredit foto: Instagram Ramli MS & celahgelegar.blogspot.my
Kritikan chef selebriti, Chef Wan, terhadap Nabil Ahmad dilihat ramai memberi impak besar kepada pengacaraan dalam konsert kelima Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang berlangsung Ahad lalu.
Apatah lagi dalam kenyataan Nabil di pembukaan program realiti itu, beliau meluahkan ketakutannya untuk beraksi kerana bimbang memberi pengaruh buruk kepada kanak-kanak, sebagaimana yang didakwa Chef Wan.
“Mungkin anak-anak kecil sedang memerhatikan saya. Mungkin ia akan menjadi pengajaran untuk semua orang, jadi saya nak berubah jadi baik,” ucapnya dalam acara yang dipancarkan secara langsung itu.
Melihat sikap Nabil yang agak janggal dan lain daripada kebiasaaan, para penonton hanya menguntum senyum, sementara rakan hos, Jihan Muse beberapa kali terlepas gelak.
Pada masa sama, situasi itu menarik perhatian juri tetap, Datuk Ramli MS untuk menyuarakan pendapatnya.
“Jadilah diri kamu sendiri sahaja. Kau yang bayar bil sendiri, bukan orang lain. Itu 'jenama' kau, dan itu juga okay,” ulas Ramli ringkas di kerusi pengkritik.
Menerusi tinjauan kami di ruangan komen laman rasmi Instagram Gegar Vaganza, rata-rata netizen turut memberi kata-kata semangat kepada pengacara sensasi itu.
Tak kurang, ada sesetengah netizen yang menganggap Nabil sebenarnya bersifat sinis sepanjang acara seperti tidak boleh 'move on' dengan kontroversi yang melandanya.