loading...

Thai Rancang Kenakan Caj Ke Atas Kenderaan Asing

BANGKOK – Memandangkan semakin banyak kenderaan asing memasuki Thailand melalui pusat pemeriksaan sempadan, kerajaan merancang untuk mengenakan caj ke atas setiap kenderaan yang masuk bermula akhir tahun depan, menurut Pejabat Pengangkutan serta Dasar dan Perancangan Trafik.

Timbalan ketuanya Wilairat Sirisophonsin berkata, tol perlu dikenakan kerana semakin banyak kenderaan asing memasuki Thailand sejak penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), sehinggam menyebabkan peningkatan kos penyelenggaraan jalan dan kemalangan jalan raya.

“Kerajaan setiap tah un membelanjakan kira-kira 15 bilion Baht (kira-kira RM1.9 bilion) bagi membaik pulih dan menyelenggara jalan raya. Ia juga membelanjakan 2.4 bilion Baht (kira-kira RM304 juta) setahun akibat kemalangan jalan raya,” kata beliau yang dipetik oleh media tempatan hari ini.

Beliau berkata, tahun lepas, 2.1 juta kenderaan asing memasuki Thailand melalui 28 pos pemeriksaan dengan kebanyakan kenderaan dari Laos (755,000), diikuti Malaysia (596,000), Myanmar (495,000) dan Kemboja (322,000).

Wilairat berkata kajian mengenai kutipan tol dari kenderaan asing akan siap bulan depan dengan proses bagi mendapatkan kelulusan dan meminda undang-undang semasa bagi membolehkan caj baharu dikenakan (ke atas kenderaan asing) dijangka mengambil masa kurang setahun.

Dalam kajian itu, pemandu kenderaan asing memasuki perlu membayar 100 Baht (kira-kira RM12.65) bagi tag elektronik yang sah selama lima tahun dan bayaran tol 42 Baht (kira-kira RM5.30) untuk setiap perjalanan.

Bayaran tol akan diperkenalkan dalam tiga fasa dengan caj dikenakan mula-mula ke atas kenderaan asing pacuan empat roda yang melepasi 28 pusat pemeriksaan sempadan dari Myanmar, Malaysia, Kemboja dan Laos.

Kenderaan asing yang memasuki Thailand melalui 28 pusat pemeriksaan akan dipantau oleh Sistem Indentifikasi Frekuensi Radio dan Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) akan digunakan untuk mengesan kenderaan dalam fasa-fasa berikut.

“Tennologi (GPS) adalah baik untuk mula mengutip tol berdasarkan jarak perjalanan (kenderaan asing),” kata Wilairat sambil menambah bahawa para pegawai sedang menimbangkan untuk mengenakan caj 1.5 Baht (kira-kira RM0.19) satu kilometer ke atas kenderaan asing.

Rancangan untuk mengenakan bayaran ke atas kenderaan asing berdasarkan jarak yang dilalui akan bermula pada tahun keempat pelaksanaan dasar baharu.

Beliau berkata, keerajaan akan mengenakan tol ke atas kereta jenis lain dan menambah pusat pemeriksaan sempadan tambahan pada fasa terakhir dasar baharu itu. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...