Kredit foto: Instagram Berita Harian
Aktor Fattah Amin, 27, yang meraih gelaran Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 hadir ke Balai Berita hari ini untuk mengambil hadiah kereta Peugeot 408 e-THP sebagai ganjaran kemenangannya.
Baru sahaja melangsungkan pernikahan dengan aktres, Nur Fazura Sharifuddin, Fattah menerima kereta sedan premium bernilai RM150,000 daripada Pengurus Besar Kanan Nasim Sdn Bhd, Yasser Awan, dengan disaksikan Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Menariknya, pelakon filem televisyen Wanita Terindah ini, akan menyerahkan kenderaan berkenaan kepada kedua orang tuanya, Mohd Amin Muda, 50, dan Azizah Abdul Ghani, 47, yang juga hadir memeriahkan acara.
Memetik portal BH Online, Fattah memberitahu kejayaan yang diperoleh itu adalah bertitik tolak daripada sokongan para peminat sejak awal pembabitannya dalam industri seni sehingga dinobatkan Bintang Paling Popular.
"Tanpa sokongan ramai, saya tidak mungkin berada di sini, malah selain keluarga, peminat antara tonggak yang menguatkan semangat saya untuk terus memberikan yang terbaik," katanya.
Turut hadir memeriahkan majlis penyampaian hadiah ialah Pengarang Hiburan BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 3.0, Shamshul Azree Samshir dan Pengurus Besar Pemasaran The New Straits Times Press (NSTP), Farah Ezrin Mohd Mohd Rashidi.
Terdahulu, acara ABPBH 3.0 yang dipancarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 14 Mei lalu, mendapat lebih 15 juta capaian dalam pelbagai medium.