loading...

Pengambilan Tanah Bawah Tanah Dikuat Kuasa

KUALA LUMPUR – Majlis Tanah Negara (MTN) hari ini bersetuju menetapkan kedalaman minimum bagi pengambilan tanah di bawah tanah untuk tujuan pembangunan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata mesyuarat MTN yang dipengerusikan beliau bersetuju bahawa di bawah Peraturan-Peraturan Kanun Tanah Negara (Tanah Bawah Tanah) (Kedalaman Minimum) 2017, kedalaman minimum ditetapkan pada enam meter bagi tanah pertanian, 10 meter bagi bangunan dan 15 meter bagi tanah perindustrian.

Katanya keperluan ini selaras dengan kehendak dan keperluan pembangunan tanah bawah tanah yang semakin pesat seperti pembinaan Transit Aliran Massa (MRT), Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), Bandar Malaysia dan pembangunan lain.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada media selepas mesyuarat tersebut di Bangunan Parlimen.

Ahmad Zahid berkata perkara tersebut adalah antara tujuh perkara yang diluluskan dalam mesyuarat kali ke-73 itu, yang turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri serta pegawai atasan agensi kerajaan berkenaan.

Sementara itu, bercakap kepada wartawan selepas mesyuarat tersebut, Wan Junaidi berkata perundangan tersebut akan berkuat kuasa serta-merta selepas diwartakan esok.

Jelasnya, perundangan ini akan membolehkan kerajaan mengambil tanah di bawah tanah, walaupun nilai kepada tuan tanah di atas belum ditetapkan dan sistem baharu ini tidak akan menyebabkan tuan tanah atas tanah kehilangan tanahnya.

Beliau berkata mesyuarat MKN itu juga bersetuju supaya semua pihak yang terlibat dalam pembinaan infrastruktur awam perlu merujuk kepada kementerian itu jika projek itu merentasi kawasan hutan.

Katanya ini perlu bagi membolehkan langkah mitigasi awal diambil supaya kawasan hutan dan biodiversitinya tidak dimusnahkan sewenang-wenangnya.

“Sebagai contoh, projek ECRL (Rangkaian Rel Pantai Timur), pada permulaannya kawasan hutan seluas 2,000 hektar bakal dimusnahkan, tetapi selepas berbincang dengan kementerian, kita berjaya selamatkan 80 peratus daripada kawasan hutan tersebut daripada dimusnahkan. Kita hanya kehilangan 25 hektar hutan,” kata beliau.

Junaidi berkata MKN juga bersetuju supaya satu perundangan perlu diwujudkan untuk mengekalkan hutan simpan di dalam bandar.

“Timbalan perdana menteri menyarankan supaya semua kerajaan negeri mesti memastikan kawasan ‘green lung’ dibangunkan bagi setiap projek pembangunan yang baharu.

“Ini merupakan ‘watershed’ bagi negara dalam pemuliharaan dan alam sekitar,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...