Kredit foto: BH Online
Tidak mengetahui rahsia penyakit kanser kelenjar (lymphoma) tahap empat yang dipendam Elyana, penyanyi Hazami mengakui berasa terkejut dan tidak sangka.
Hazami atau nama penuhnya, Norkamal Hazami Ahmad, 42, melahirkan rasa terkilan kerana Elyana yang sudah dianggapnya bagai adik kandung sanggup menyembunyikan penderitaannya itu.
"Memang saya marah. Saya marahkan Syura dan tanya dia kenapa sorok kisah Elyana daripada saya dan semua peserta lain?
"Saya juga sedih sebab dia individu yang rapat dengan saya dan sembunyikan perkara penting sebegini daripada pengetahuan saya.
"Tetapi, saya percaya Elyana ada sebab sendiri untuk berbuat sedemikian. Saya kagum dengan semangat dia dan akan sentiasa mendoakan kesejahteraan dia," kata Hazami menurut portal Astro Gempak.
Mengulas penyanyi Diriku Tapak Sulaiman itu, Hazami berkata, dia menyedari perubahan beliau sejak penyertaan di Gegar Vaganza 4 (GV4) yang kelihatan lesu dan tidak lagi berselera makan.
Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza
"Saya selalu bertanya pada dia, kenapa nampak letih dan kenapa jarang makan? Tetapi, tahu-tahulah Elyana itu macam mana. Ada saja alasan dia dan banyak berdalih.
"Sampailah malam ini, dia mengejutkan semua orang dan saya sendiri," katanya dalam emosi sebak.
Ketika membuat ucapan sewaktu diumumkan tersingkir di konsert GV4 semalam, Elyana mengejutkan ramai apabila mendedahkan dirinya adalah penghidap kanser limfoma tahap empat. Dalam masa sama, beliau meminta pesakit kanser yang lain terus kuat melawan penyakit itu.
Elyana disahkan mendapat kanser tahap dua sejurus selepas kelahiran anak sulung, Cinta Sumayyah pada tujuh tahun lalu.
Konsert GV4 ke udara secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.