loading...

Menyorok 3 Jam Bawah Bas Untuk Bertemu Ibu Bapa

BIARPUN kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia adalah China, namun negara itu sebenar masih dibelenggu peratusan jumlah kemiskinan tinggi.

Lebih 40 peratus rakyat di negara itu difahamkan masih hidup dengan pendapatan kurang AS$5.50 (RM22) sehari.

Pelbagai kisah pelik dan menyentuh perasaan turut dilaporkan berlaku menceritakan kesengsaraan yang di hadapi oleh rakyat negara tembok besar itu.

Terbaharu, kisah mengenai dua kanak-kanak yang ditemui menyorok di bawah bas selama tiga jam semata-mata mahu bertemu dengan ibu bapanya telah membuatkan ramai pengguna internet bersedih.

Bayangkan  selama tiga jam kanak-kanak itu duduk di bawah bas yang bergerak laju, perbuatan mereka ini begitu berisiko sehingga boleh meragut nyawa.

Dalam kejadian 23 November lalu, mereka menumpang secara ‘haram’ bas tersebut yang dalam perjalanan dari kawasan pedalaman di Nazuo, Wilayah Guangxi untuk bertemu ibu bapa yang bekerja jauh di bandar.

Berusia sekitar lapan tahun, mereka ditemui diselaputi lumpur oleh seorang pekerja keselamatan apabila bas berkenaan berhenti di sebuah stesen di daerah Xilin, selepas menempuh perjalanan sejauh 80 kilometer.

“Mereka sangat kurus sehingga mampu menyelit di bahagian bawah bas itu dan sanggup menggadai nyawa berpaut sepanjang perjalanan semata-mata rindu mahu menemui ibu bapa,” kata seorang pekerja stesen bas memetik portal Dailymail.

Nasib baik kedua beradik itu ditemui oleh pekerja bas tersebut yang kemudiannya membasuh pakaian dan memberi mereka makan.

Kanak-kanak itu dipercayai ponteng sekolah sebelum ke stesen bas dan mencari ruang di bahagian bawahnya untuk menyorok.

“Ibu bapa mereka sebenarnya bekerja di tempat lebih jauh iaitu di wilayah Guangdong namun saudara-mara memberitahu mereka bekerja di Baise sekadar untuk ‘menyedapkan hati’ anak-anak ini,” kata pekerja itu.

Menurut laporan itu lagi, kedua beradik itu kemudiannya dibawa pulang oleh saudara mereka pada sebelah petang setelah dimaklumkan kepada pihak polis.

Mereka dikatakan tinggal di asrama sekolah dan sudah hampir dua bulan tidak dapat berjumpa dengan ibu bapa.

Kejadian ini merupakan contoh bagaimana majoriti golongan ibu bapa di China terpaksa meninggalkan anak-anak jauh di perkampungan demi mencari rezeki di bandar.

Berdasarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di China, dianggarkan terdapat sekitar 23 juta kanak-kanak terpaksa ditinggalkan di kawasan pedalaman negara itu.

Ini disebabkan ibu bapa masing-masing keluar bekerja di bandar besar seperti Guangdong. – MYNEWSHUB.CC

Loading...

Previous
Next Post »
loading...