loading...

K’jaan P.Pinang Perjelas Masalah Penganjuran Maraton

GEORGE TOWN – Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini dituntut supaya memberi penjelasan berhubung penganjuran larian Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang Ahad lalu yang menyaksikan pelbagai masalah teknikal berlaku, termasuk pemberian coklat tamat tempoh.

Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata pelbagai permasalahan yang berlaku itu menunjukkan sifat kerajaan negeri yang tidak memandang serius tentang perlumbaan bertaraf antarabangsa.

“Sejak dari tahun 2014, kerajaan negeri terutamanya Exco Pengerusi Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Danny Law Heng Kiang hanya tahu meminta maaf, berulangkali mengatakan mereka akan meninjau dan akan menguatkan serta memperbaiki mekanisme perlumbaan itu namun tetap berlaku masalah setiap kali larian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini,

Oh berkata pada tahun ini antara masalah yang berlaku pada penganjuran bertaraf antarabangsa itu ialah baju-T berukuran tidak betul walaupun peserta telah mendaftar awal dengan pemberian saiz dan kelewatan dua jam untuk untuk para pemenang mendapatkan pingat.

“Kali ini juga berlaku peristiwa mengedarkan coklat yang telah luput tarikh kepada peserta dan beliau (Law) mengatakan penaja yang silap ambil coklat yang telah luput tarikh itu.Dengan peristiwa ini adakah pihak kerajaan negeri dengan ikhlasnya mengaku bahawa mereka yang perlu bertanggungjawab ke atasnya?

Dalam pada itu Oh turut memohon kerajaan Pulau Pinang untuk menjelaskan penyaluran wang kutipan yuran pendaftaran bagi larian tersebut yang keseluruhan bernilai RM3 juta,

“Yuran pendaftaran sebanyak RM80 hingga RM100, dan terdapat 35,000 peserta dan sekurang-kurangnya pihak penganjur menerima yuran enrolmen hampir RM3 juta. Di manakah yuran pendaftaran ini digunakan? Lagi pun, hampir semua perbelanjaan, termasuk makanan, pakaian , trofi dan pingat telah ditaja,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...