PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini berkata penularan gambar dokumen permohonan khas kad pengenalan dalam media sosial baru-baru ini adalah palsu dan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Justeru, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Mohammad Razin Abdullah meminta orang ramai tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat palsu berkenaan bagi mengelak sebarang kekeliruan dan gangguan ketenteraman awam.
Beliau berkata pihaknya tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang perseorangan untuk mewakili jabatan itu dalam apa-apa urusan.
“Semua dokumen rasmi jabatan ini hanya dikeluarkan di pejabat JPN dan tidak akan diedarkan kepada orang ramai sewenang-wenangnya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Baru-baru ini tersebar di media sosial sekeping gambar borang permohonan khas kad pengenalan yang mempunyai logo 1Malaysia dan JPN.
Di bawah borang tersebut terdapat ruang ikrar yang ‘undi Barisan Nasional pada Pilihan Raya ke-14’ dan sekiranya ingkar ‘saya sedia dan rela hati untuk diambil tindakan dengan membatalkan KAD PENGENALAN SAYA’. – BERNAMA
Loading...