BANGKOK – Bekas Setiausaha Agung ASEAN dan bekas Menteri Luar Thailand Dr Surin Pitsuwan meninggal dunia hari ini akibat kegagalan jantung.
Ahli politik tersohor Thailand berusia 68 tahun itu rebah ketika sedang bersiap untuk menghadiri majlis Perhimpunan Halal Thailand 2017 dan dibawa ke Hospital Ramkhamhaeng sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 3 petang (waktu tempatan).
“Beliau tiba-tiba rebah di kediamannya di Ramkhamhaeng kira-kira pukul 2 petang (waktu tempatan) dan segera dibawa ke Hospital Ramkhamhaeng Hospital, sebelum disahkan meninggal dunia sejurus selepas dimasukkan ke wad,” kata seorang daripada pembantu beliau dan seorang pemimpin parti Democrat kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau meninggalkan isteri, Alisa dan tiga anak.
Surin merupakan Timbalan Menteri Luar Thailand dari 1992 hingga 1995 dan kemudian menjadi Menteri Luar negara berkenaan dari 1997 hingga 2001 di bawah kepimpinan Perdana Menteri Chuan Leekpai dan tujuh tahun selepas itu, pada 1 Jan 2008, beliau dinamakan sebagai Setiausaha Agung ASEAN.
Surin, yang beragama Islam, dilahirkan pada 28 Okt 1949 di daerah Muang, Nakhon Si Thammarat di selatan Thailand dan lulus dalam bidang sains politik dari Claremont College di California pada 1972 serta memperoleh ijazah Sarjana daripada Harvard University.
Beliau menyertai politik pada 1986 sebagai calon parti Democrat dan memenangi kerusi di kawasan pilihan raya di tempat asalnya, Nakhon Si Thammarat, dalam semua pilihan raya dari 1986 hingga 2005.
Awal tahun ini, timbul khabar angin kononnya Surin sedang mempertimbangkan untuk bertanding sebagai calon bagi jawatan gabenor Bangkok, sekiranya pertandingan bagi jawatan itu dibenarkan.
Sementara itu, pembantu beliau turut memberitahu Bernama jenazah Surin telah pun dituntut keluarganya dan dibawa ke rumahnya di Tha It in Nonthaburi, dekat Bangkok.
Menurutnya jenazah Allahyarham akan dibawa dengan penerbangan ke kampung halamannya di Nakhon Si Thammarat sama ada malam ini atau awal pagi esok untuk disemadikan selepas solat Jumaat. – BERNAMA
Loading...