Thamsanqa Jantjie hanyalah seorang lelaki biasa dari Afrika.
Namanya menjadi bualan ramai ketika berlakunya pengebumian Nelson Mandela pada tahun 2013, apabila beliau dilantik menjadi juru alih bahasa isyarat bagi acara tersebut. Kisah bagaimana Thamsanqa dilantik pada majlis tersebut juga diselubungi misteri.
Thamsanqa dilantik melalui sebuah syarikat lain. Dia dipilih berdasarkan tawaran syarikat tersebut yang mengenakan perkhidmatan alih bahasa isyarat itu pada harga $77 sehari, jika dibandingkan dengan kadar biasa $125 ke $164 satu jam.
Pada hari pengkembumian Nelson Mandela, Thamsanqa diberikan peluang berdiri bersebelahan dengan ramai pemimpin dunia yang memberikan ucapan sempena memperingati jasa Mandela kepada dunia, dengan Thamsanqa ditugaskan untuk menterjemahkan ucapan mereka. Apa yang berlaku selepas itu amat menakjubkan.
Thamsanqa mula 'menterjemahkan' semua ucapan pemimpin dunia menurut pemahamannya sendiri, dengan memilih untuk menyatakan isyarat-isyarat yang langsung tidak sama dengan apa yang sedang diucapkan. Sepanjang majlis dia berjaya 'menterjemah' ucapan bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon dan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma.
Beberapa pihak yang berada di dalam majlis atau sedang menonton siaran langsung dapat mengenal pasti berlakunya caca merba dalam bahasa isyarat yang ditunjukkan oleh Thamsanqa, dengan kebanyakannya penuh dengan mesej-mesej merapu seperti 'saya merokok', 'saya minta maaf', 'udang' dan pelbagai lagi isyarat lucu.
Apabila disoal siasat selepas berakhirnya majlis itu, Thamsanqa mempertahankan dirinya dan pengetahuannya. Dia mengakui dirinya mempunyai pengalaman sembilan tahun sebagai seorang penterjemah bahasa isyarat dan apa yang berlaku pada ketika itu, secara kebetulan pula penyakit schizophrenic beliau menyerang.
Mengakui dirinya mendengar bunyi-bunyi ghaib ketika itu, dia juga dilaporkan melihat 'angel' turun langit pada waktu itu. Merasa takut dengan apa yang dia saksikan, Thamsanqa mengakui cuba menenangkan dirinya dengan berkomunikasi melalui bahasa isyarat apa yang sedang dilihatnya. Lagipun, dia takut jika dia melakukan sebarang kelakuan aneh, pengawal-pengawal peribadi yang pada ketika itu di sekelilingnya akan mengambil tindakan keras.
Kisah Thamsanqa mula terbongkar satu per satu apabila Francois Deysel, seorang ahli penterjemah daripada Deaf Federation of South Africa atau DFSA memberitahu, mereka pernah menonton satu video Thamsanqa menterjemahkan ucapan sambutan 100 tahun parti African National Conference di televisyen pada tahun 2012 dan mendapati terjemahannya sama- hanyalah gerakan tangan yang langsung tidak mencerminkan apa yang diucapkan.
Apabila Francois melihat individu yang sama mula 'menterjemahkan' ucapan pemimpin dunia ketika upacara memperingati Nelson Mandela, perkara itu menimbulkan banyak keraguan. Pihak yang menguruskan majli tersebut meletakkan tanggungjawab perlantikan Thamsanqa pada badan kerajaan dan badan kerajaan pula mengatakan tidak terdapat sebarang aduan berkenaan perkhidmatan Thamsanqa sebelum itu.
Kabinet Menteri Afrika Selatan memohon maaf pada komuniti kurang upaya pendengaran selepas insiden tersebut dan mengakui melakukan kesilapan melantik Thamsanqa dalam upacara sebesar itu.
Namun bagi Thamsanqa, dia tetap gembira berjaya menjayakan tugas itu dengan sempurna dan gembira kerana telah banyak kali diundang menjadi penterjemah majlis-majlis besar di Afrika Selatan. Apabila diminta memberikan pengesahan berkenaan kelulusan beliau sebagai juru alih bahasa, Thamsanqa meminta pihak wartawan mendapatkan maklumat berkenaan daripada syarikat yang menguruskan lantikan dia bernama SA Interpreters.
Apabila wartawan ke pejabat SA Interpreters, mereka menemui syarikat lain sedang beroperasi pada alamat tersebut. Pihak kerajaan Afrika Selatan cuba menjejaki syarikat yang mengesyorkan Thamsanqa pada mereka namun usaha itu sia-sia kerana syarikat itu hilang tanpa dapat dikesan sesiapa.
Rujukan
USA Today
NY Times