Aktor sasa, Aedy Ashraf menyifatkan gelaran 'Tarzan Malaysia' oleh netizen terhadap penampilannya sebagai satu bentuk pujian kerana dia sememangnya meminati animasi dan filem Tarzan.
Aedy atau nama sebenarnya, Mohammed Addy Ashraf Rosmadi, 24, mengakui tidak mempunyai sebarang masalah dengan gelaran itu.
"Tarzan Malaysia? Boleh tahan... Rasanya tiada masalah pun dengan gelaran itu.
"Saya pun minat juga animasi dan filem Tarzan, jadi saya anggap gelaran yang diberikan itu satu pujian peminat terhadap saya," katanya memetik portal Astro Gempak.
Aedy membuat kenyataan tersebut di acara InTrend Gala 2017 yang berlangsung di Aloft Hotel, Kuala Lumpur malam tadi.
Bakat yang meledak menerusi drama rantaian Hero Seorang Cinderella itu mencuri perhatian di laman Instagram kerana sering memuat naik foto menayangkan susuk tubuh bersama imej rambut panjang.
Aedy yang pernah mencipta nama menerusi filem Tentang Bulan berkata, perubahan bentuk tubuh dan imej yang ditampilkannya adalah selaras dengan usianya yang meningkat dewasa, selain ingin menghapuskan imej pelakon kanak-kanak yang melekat dalam dirinya.
"Orang selalu melihat saya sebagai pelakon kanak-kanak dan dengan imej rambut panjang serta gaya yang lebih matang diharapkan peminat saya menerima saya sebagai pelakon yang sudah dewasa," katanya lagi.
Aedy yang sudah menceburi bidang lakonan sejak umur tujuh tahun pernah membintangi beberapa siri popular antaranya Lara Aishah, Hero Seorang Cinderella, Waktu Rehat dan Dendam Aurora.