loading...

Mingguan, Kosmo! Kekal Laris Separuh Pertama 2017

DI SEBALIK trend jualan akhbar mencatatkan kejatuhan, Mingguan Malaysia terus lakar sejarah apabila kekal jadi akhbar berbahasa Melayu paling laris di Malaysia untuk separuh pertama 2017.

Menurut laporan terkini dikeluarkan firma pengauditan antarabangsa, Audit Bureau of Circulations (ABC), akhbar mingguan itu masih lagi mengatasi saingan terdekatnya, Kosmo! Ahad bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Akhbar terbitan Kumpulan Utusan sejak 1964 itu mencatatkan purata edaran bersih 257,502 naskhah setiap minggu dari Januari hingga Jun lalu berbanding ‘adiknya’ mengekori rapat hanya 171,946 naskhah untuk tempoh sama.

Mingguan Malaysia turut mencipta rekod tersendiri apabila muncul sebagai akhbar berbahasa Melayu terlaris di seluruh Malaysia kecuali Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kerana tidak dijual di pasaran terbabit.

Paling unik, rekod edaran dicatatkan akhbar itu mampu dicapai meskipun berlaku aliran kejatuhan jualan ketara kesemua akhbar bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia akibat persaingan sengit media berita atas talian.

Baca: Utusan Terus Gah Sebagai Akhbar Digital Terlaris

Akhbar kompak mingguan tersebut yang diterbitkan sejak tahun 2005 turut mengatasi Metro Ahad apabila sekadar merekodkan edaran 142,795 naskhah sahaja, manakala BH Ahad dengan hanya 77,614 naskhah bagi setiap keluaran.

Dalam pada itu, Kosmo! kekal sebagai akhbar harian berbahasa Melayu paling tinggi edarannya iaitu sebanyak 160,536 naskhah untuk tempoh yang sama berbanding lawan terdekatnya Harian Metro cuma 133,033 naskhah.

ABC turut melaporkan bahawa Utusan Malaysia, yang juga terbitan Kumpulan Utusan mencatatkan edaran harian bersih kira-kira 115,830 naskhah manakala akhbar saingannya, Berita Harian pula hanya setakat 91,648 naskhah.

Setakat ini harian berbahasa Cina, Sin Chew Jit Poh masih kekal sebagai akhbar paling laris di Malaysia iaitu kira-kira 303,781 naskhah sementara The Star dengan 217,082 naskhah muncul akhbar berbahasa Inggeris yang popular.

Trend kejatuhan edaran akhbar tempatan seiring dengan senario peralihan minat pembaca beralih kepada platform digital yang dikatakan lebih pantas dan boleh diakses di mana-mana pada bila-bila masa. – Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...