loading...

Bagaimana Vladimir Putin Menjadi Pemimpin Paling Berkuasa di Russia?

gambar lama putin semasa zaman pemuda

Vladimir Putin adalah Presiden Russia ketika ini. Jika didengar kata pihak-pihak tertentu, dia dikatakan kejam, jahat, ego dan bermacam lagi tohmahan buruk padanya. Walau apa saja persepsi antara terhadap Putin, kami yakin anda akan dapat sesuatu daripada kisah hidup beliau.

Vladimir Putin lahir pada 7 Oktober 1952 di Leningrad. Ibunya seorang wanita bernama Maria sementara ayahnya yang juga bernama Vladimir, hidup dalam keadaan sederhana. Ayahnya seorang pekerja kilang kurang upaya yang kehilangan kaki akibat letupan bom semasa perang dunia ke 2. Maria pula bekerja sebagai seorang penyapu sampah dan pencuci am, yang terpaksa melalui kematian dua anak lelakinya; seorang ketika kelahiran dan seorang lagi meninggal akibat wabak yang tercetus ketika berlakunya perang.

putin semasa kanak kanak

Tinggal sekeluarga di sebuah bilik, berkongsi rumah apartment kecil dengan beberapa  keluarga lain di Leningrad, Putin menjalani kehidupan susah semasa kecil. Nasibnya baik dengan berjaya menyertai Leningrad School No.281, sekolah bagi pelajar terpilih di sana. Di sekolah, Putin menyertai sukan judo dan sambo; sejenis sukan tradisi Russia yang mirip campuran judo dengan gusti.

Putin bukanlah pelajar yang baik. Dia adalah seorang yang bermasalah tetapi gurunya dapat melihat potensi dalam diri Putin. Dia peminat bahasa, mudah mengingat dan mindanya cerdas. Bermula pada gred ke 6, atas dorongan gurunya, Putin mula mengubah sikapnya. Dia mula mengambil berat tentang pendidikan dan aktif dalam bersukan.

bangunan kgb di moscow

Rajin membaca, Putin mula menelaah novel dengan salah satu novel paling berpengaruh dalam hidupnya mengisahkan tentang seorang pengintip Russia di Jerman. Bermula daripada inspirasi tersebut. dia mula menanam minat hendak menyertai agensi risikan KGB.

Tanpa diundang, dia ke ibu pejabat KGB di Leningrad untuk melakukan permohonan namun permintaannya untuk menyertai KGB tidak kesampaian, kerana KGB akan menjemput individu-individu yang mereka rasakan layak menyertai mereka. Bagaimanapun, salah seorang pegawai di situ menasihatkan dia - jika benar berminat hendak menyertai KGB, masuki jurusan undang-undang.

Selepas lulus cemerlang pada peringkat sekolah, Putin memasuki Leningrad State University pada tahun 1970 dalam jurusan undang-undang, selarasa dengan nasihat yang dia terima. Dia berjaya menamatkan pengajian ijazah pada tahun 1975 dan nasibnya baik, pada tahun terakhir pengajian, Putin ditawarkan untuk menyertai KGB bagi menyertai bidang risikan secara rasmi.

Melihat potensi Putin, KGB menghantar beliau menyertai Andropov Red Banner Institute, di Moscow dengan menggunakan nama samaran 'Platov.' Di sana, dia melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran bahasa Jerman serta berjaya mendapatkan tali pinggang hitam dalam judo. Selesai dalam latihan, Putin kembali berkhidmat sepenuh masa dengan KGB.

putin semasa bertugas di jerman

Menggunakan kemahiran beliau berbahasa Jerman, Putin ditugaskan melakukan intipan di Jerman Timur (pada masa itu) di mana dia bertanggungjawab mengawai gerak langkah beberapa orang anggota NATO yang ada di situ. Maklumat yang dikumpulkan kemudiannya dihantar ke Moscow.

Tugas Putin di Dresden, Jerman Timur tidak kekal lama selepas runtuhnya tembok Berlin pada tahun 1989. Menyedari masyarakat Jerman ketika itu mula menyuarakan sentimen anti Soviet dan anti komunis akibat kejatuhan pemerintahan komunis di Jerman Timur, Putin mula mengambil langkah menyelamatkan diri dengan membakar semua rekod yang dikumpulkan selama 5 tahun.

Perusuh anti komunis mula berkumpul di hadapan ibu pejabat KGB di Dresden dan Putin sendiri terpaksa keluar memberikan amaran agar mereka tidak cuba memecah masuk kerana pencerobohan akan dihalang dengan senjata api.

Dia menghadapi kesukaran untuk kembali ke Soviet selepas pegawai-pegawai KGB tidak membantunya keluar dari Jerman dan kerajaannya sendiri tidak memberikan sebarang bantuan terhadap mereka yang terkandas di Dresden.

Hampa melihat dirinya ditinggalkan, sejak itu Putin mula tidak mempercayai sebarang bentuk ideologi atau mana-mana pemimpin lain. Dia sedar, hanya dirinya mampu mengubah nasib beliau dan kesetiaan pada negara adalah tonggak yang perlu dia pegang.

putin dengan sobchek

Putin selamat kembali ke Soviet selepas Jerman kembali bersatu pada tahun 1990 lalu berkhidmat sebagai ejen risikan di Leningrad State University, menyamar sebagai Pembantu Pengarah di sana. Bagaimanapun, hidup sebagai seorang pengintip sudah tidak lagi membawa makna pada hidupnya.

Pertemuan Putin dengan seorang pemimpin bernama Anatoly A.Sobchak, pada ketika itu pengerusi kerajaan tempatan yang sedang bersiap sedia bertanding pilihanraya, membuka jalan pada Putin menyertai politik. Pada awalnya, dia menjadi penasihat kepada Sobchak, kemudian dilantik menjadi pengerusi kepada Committee for International Relations di St. Petersburg City Hall.

putin merenung anak ayam

Putin meletakkan semua jawatannya dalam KGB bagi menumpukan perhatian pada politik selepas menyedari untuk kesukaran yang bakal beliau hadapi dalam karier politik sebagai seorang ahli KGB.

Putin dilantik memegang jawatan Timbalan Datuk Bandar Kerajaan Tempatan St.Petersburg dengan tanggungjawab besar mempengerusikan bidang kerjsama ekonomi antarabangsa. Beliau bertanggungjawab menjadi individu yang membuka pelaburan asing di St. Petersburg.

Menjawat pelbagai jawatan penting dalam kerajaan daripada tahun 1997 sehinggalah pada bulan Mac 1999, Putin ditawarkan jawatan setiausaha kepada Security Council of Russian Federation. Tidak lama kemudian, Putin ditawarkan oleh Presiden Russia ketika itu, Boris Yeltsin untuk menjadi Perdana Menteri Russia dengan prospek untuk menggantikan beliau sebagai Presiden Russia yang baru.

putin dengan boris yeltsin

Menjangkakan dirinya hanya mampu bertahan beberapa bulan selepas melihat nasib yang sama menimpa barisan Perdana Menteri sebelumnya, rakyat Russia menyambut baik pendekatan Putin dalam menangani isu masyarakat Chechens serta kemampuan beliau menyelesaikan krisis yang berlaku di kawasan pergunungan Caucasus di selatan Russia. Pada 26 Mac 2000, Vladimir Putin dilantik menjadi Presiden Russia secara rasmi menggantikan Presiden Boris Yeltsin.

Sehingga kini, kehidupan sebenar Putin menjadi misteri kerana keengganannya menggunakan teknologi dalam hidupnya. Dia dilaporkan tidak menggunakan telefon bimbit dan jarang menggunakan internet. Semua berita berkaitan hal ehwal semasa dunia akan dihantar kepadanya dalam bentuk dokumen bercetak yang dikepil dalam fail berwarna merah setiap hari dan diletak dimejanya.

dua anak perempuan putin

Kehidupan peribadi Putin juga berbeza dengan banyak pemimpin dunia. Tidak ada sebaran gambar rasmi Putin dan keluarga dilakukan. Wajah dua orang anak Putin jarang muncul dalam media dengan kedua-duanya dibesarkan dalam privasi, sehinggakan menggunakan nama samaran ketika di sekolah dan universiti. Bekas isteri Putin, Lyudmila Putina selepas berlakunya perceraian mereka pada 2013, menghilangkan diri dan mengotakan kata-katanya yang rimas dengan status sebagai isteri kepada orang paling berkuasa di Russia.

Mungkin sifat berahsia dan tidak mahu mendedahkan pelbagai perkara ini datang, daripada latar belakang Putin yang satu masa dulu adalah seorang pengintip yang menyelinap ke dalam negara orang lain, yang kemudian diterapkan pada ahli keluarganya. Ada juga pihak yang mengatakan masyarakat Russia memang mempunyai mentaliti sedemikian ekoran wujudnya banyak musuh yang sentiasa cuba menggugat hidup mereka.

Walau apa pun yang diperkatakan, sangat jelas sekali bagaiman Vladimir Putin mencorakkan hidupnya dari zaman muda sehinggalah bergelar pemimpin nombor 1 di Russia.

Rujukan

LA TImes

Previous
Next Post »
loading...