loading...

KLIA Aeropolis Terima Pelaburan Tambahan RM700j

SEPANG – KLIA Aeropolis, hab logistik udara yang diperbadankan ke dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dijangka menerima pelaburan tambahan sebanyak RM700 juta selepas beroperasi sepenuhnya.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Badlisham Ghazali berkata dengan penubuhan hab tersebut, jumlah kargo udara akan meningkat mulai suku ketiga tahun 2020.

“Lebih banyak pelaburan akan masuk melalui pelabur tempatan dan antarabangsa yang menggunakan KLIA Aeropolis bagi mengangkut barang-barang mereka, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab logistik mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, MAHB melalui KLIA Aeropolis, menyasarkan pergerakan lebih 3.5 juta tan barangan menjelang 2020 berbanding 150,000 tan yang dicatatkan sejak beberapa tahun lepas.

Fasa pertama KLIA Aeropolis, platform perdagangan elektronik dunia yang pertama (eWTP) di luar China, merangkumi lebih daripada 60 ekar (24.3 hektar) akan dibangunkan oleh Cainiao Smart Logistics (Hong Kong Ltd) pada kos sebanyak lebih kurang RM200 juta.

Anak syarikat milik penuh, MAHB, MA eLogistics Sdn Bhd, akan memiliki kepentingan sebanyak 30 peratus dalam syarikat usaha saman dengan Cainiao, Cainiao KLIA Aeropolis Sdn Bhd.

Beberapa bahagian KLIA Aeropolis akan menggunakan kemudahan di dalam Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), ini akan meningkatkan taraf lapangan terbang itu sebagai e-hab serantau bagi Alibaba.

KLIA Aeropolis, yang akan dibina di atas tapak seluas 404.7 hektar di sekitar KLIA, telah dilancarkan pada tahun lepas dan dijangka menarik sejumlah RM7 bilion dalam pelaburan asing serta domestik .

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Datuk Yasmin Mahmood berkata dengan DFTZ, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mampu menembusi pasaran antarabangsa dan menjadi sebahagian daripada rantaian pasaran global.

“Dengan urusan perniagaan mencapai operasi antarabangsa selama 24 jam/tujuh hari seminggu, ia bukan sahaja akan meningkatkan pendapatan mereka tetapi menggalakkan orang lain untuk berurus niaga ke dalam talian,” katanya.

Sasaran awal bagi fasa pertama DFTZ telah ditetapkan pada sebanyak 1,500 PKS tetapi angka itu telah melebihi sasaran dan naik kepada 1,972, mencerminkan minat yang luar biasa daripada PKS untuk mencecah pasaran global.

Dalam perkembangan yang serupa, POS Malaysia Bhd Group, yang merupakan antara penyumbang DFTZ, berkata mereka telah bekerjasama dengan Lazada sejak beberapa bulan lepas untuk mengendalikan sebuah hab e-pemenuhan.

“Sekarang ini, kami menyediakan perkhidmatan gudang kepada mereka (Lazada) dan kami sedang mengembangkan perkhidmatan dari Mesin ke Mesin,” kata CEO, Datuk Mohd Shukrie Salleh.

POS Malaysia telah melabur kira-kira RM60 juta untuk menaik taraf dan mengubahsuai bangunan Terminal Kargo Udara Kuala Lumpur, yang merupakan sebahagian daripada LCCT.

Pelaburan itu merangkumi peningkatan dalam kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi, infrastruktur, kamera litar tertutup, keselamatan dan peralatan operasi. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...