KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia (PUSMA) mencadangkan agar kerajaan mengadakan perbincangan dengan negara sumber pembantu rumah bagi mengurangkan kos penggajian pembantu rumah sebelum melaksanakan pengambilan secara terus oleh majikan.
Presidennya Siti Zarina Ismail berkata ini kerana agensi pembantu rumah negara sumber yang menentukan setiap kos termasuk gaji dan kos membekalkan pembantu rumah ke negara ini.
Perbincangan itu bagi memastikan negara sumber mematuhi harga siling yang ditetapkan menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan negara sumber sebelum ini berkaitan kos penggajian pembantu rumah. katanya pada sidang media di sini hari ini.
“PUSMA menawarkan kepakaran yang kami ada bagi memastikan hak majikan dan pembantu rumah dapat dipantau dan dibela dengan adil sekiranya berlaku kes penipuan atau pembantu rumah lari,” katanya.
Semasa membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan majikan boleh memohon pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen secara terus tanpa melalui ejen atau agensi pekerjaan bagi mengurangkan kos.
Mengulas mengenai penggajian pembantu rumah asing secara langsung, Siti Zarina berpandangan bahawa ia boleh mengundang risiko kemasukan warga asing secara bebas tanpa saringan kesihatan fizikal dan mental, keselamatan serta tanpa latihan profesional.
“Kita bimbang jika warga asing yang diambil secara terus akan lari dalam tempoh 30 hari Pas Lawatan Kerja Sementara yang diberikan sebelum majikan memohon permit kerja sah,” katanya. – BERNAMA
Loading...