loading...

Aksi Bunuh Ular Dalam Tren Guna Tangan Aje

JAKARTA – Seorang lelaki Indonesia menjadi wira internet apabila mampu membunuh seekor ular yang ditemui menyelinap masuk ke dalam sebuah kereta api dengan hanya menggunakan tangan.

Menurut laporan media tempatan, pemandu kereta api berkenaan terlebih dahulu bertindak membuat brek kecemasan untuk berhenti apabila haiwan reptilia itu dikesan di atas rak tempat simpanan bagasi di siling koc.

Ketika kejadian, tren tersebut dalam perjalanan rutin ke Jakarta dari Bogor, selatan ibu kota itu. Ia berhenti dekat stesen Manggarai terletak di Tebet, Jakarta Selatan, iaitu stesen terbesar di ibu negara Indonesia.

Rakaman amatur menerusi telefon pintar yang tular pada Selasa lalu, menunjukkan seorang lelaki bercermin mata menangkap ekor ular itu dengan mudah dan menghempaskan kepalanya dengan cara mengibas.

Ia kelihatan seakan-akan mati serta-merta sekali gus mengejutkan para penumpang termasuk seorang pegawai keselamatan kereta api yang secara kebetulan berdiri agak jauh di belakang lelaki berkenaan.

Lelaki yang tidak dikenal pasti itu kemudian melontarkan bangkai ular tersebut, yang sepanjang kira-kira satu meter, ke luar pintu kepada kakitangan keselamatan yang sedang menunggu di platform tren.

Tidak dapat dipastikan apakah jenis ular tersebut atau sama ada ia spesies reptilia yang memang berbahaya. Namun tiada kecederaan melibatkan penumpang dilaporkan dalam kejadian pelik berkenaan.

Pengendali tren tersebut, Kereta Commuter Indonesia milik agensi pemerintah tempatan, PT Kereta Api Indonesia berkata bahawa reptilia itu dipercayai mungkin keluar dari beg salah seorang penumpang.

“Kami kesal dengan kejadian yang berlaku dan meminta maaf kepada penumpang kereta api yang terjejas,” kata jurucakap, Eva Chairunnisa kepada agensi berita AFP. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...