Exco kerajaan negeri Datuk Abd Latif Bandi mula bercuti hari ini untuk suatu tempoh yang belum diputuskan berikutan siasatan rasuah skandal penukaran status hartanah bumiputera.
Menurut Bernama, Abdul Latif yang bertanggungjawab terhadap Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor memohon bercuti daripada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pagi ini.
“Dia (bercuti) nak uruskan isu yang ada kaitan dengan keluarga dan pegawai dia,” kata exco Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Koperasi dan Pembangunan Usahawan Johor Datuk Md Jais Sarday.
“Dia (bercuti) nak uruskan isu yang ada kaitan dengan keluarga dan pegawai dia,” kata exco Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Koperasi dan Pembangunan Usahawan Johor Datuk Md Jais Sarday kepada media di Kota Iskandar hari ini.
Katanya susulan itu segala urusan berkaitan portfolio Abd Latif ditangguhkan manakala hal berkaitan pentadbiran akan dirujuk kepada setiausaha kerajaan negeri sementara urusan penting berkaitan dasar dikendalikan oleh menteri besar.
Mengulas lanjut, Md Jais menegaskan permohonan cuti itu bukan bermakna Latif terlibat dalam kes berkenaan.
“Dia (Abd Latif) memang tidak disabitkan dengan siasatan atau dakwaan. Kena jelas tu,” katanya sambil menambah isu berhubung rasuah tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat exco hari ini.
Sementara itu, The Star melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasat Abdul Latif selama empat jam, semalam.
The New Straits Times yang memetik seorang sumber pula melaporkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, “murka” berhubung perkara itu dan menitahkan exco berkenaan untuk ‘menghadap’ baginda semalam.
Jumaat lalu, anak exco berkenaan dan pegawai khasnya ditangkap atas dakwaan menerima sogokan untuk menukar lot perumahan bumiputera kepada bukan bumiputera supaya boleh dijual pada harga yang lebih tinggi.
“Ahli exco yang dikaitkan dengan mereka yang ditangkap itu dititahkan menghadap dengan baginda, pagi tadi.
“Baginda (Sultan Ibrahim) murka tetapi saya fikir menteri besar (Datuk Seri Khaled Nordin) lebih berang,” lapor NST yang memetik sumber yang tidak dinamakan.
Pemimpin pembangkang telah menggesa Khaled menjelaskan siri tangkapan itu, tetapi menteri besar berkata beliau tidak akan mengulas sehingga siasatan selesai.
SPRM menyoal siasat exco berkenaan sehari selepas mereka menangkap dan menahan reman seorang pemaju berhubung kes itu.
Sejumlah tujuh suspek termasuk seorang peguam dan dua pemaju lain, telah ditangkap dan wang RM15 juta daripada 45 akaun bank dibekukan dalam kes itu.
SPRM turut merampas 21 kereta mewah dan lima buah motosikal berkuasa tinggi dalam serbuan yang berkaitan dengan kes itu.-Malaysiakini
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW