loading...

BN Perlu Kejar Undi Popular Kata KJ

KAPAR – Barisan Nasional (BN) perlu mendapat undi popular dalam pilihan raya umum akan datang bagi memastikan kemenangan mutlak berpihak parti itu.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini kerana walaupun BN menang majoriti kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, kemenangan undi popular calon pembangkang menjadi modal politik mereka mempertikaikan kedudukan BN sebagai parti memerintah.

“Bagi saya, kita nak juga kejar undi popular kerana kita tidak mahu nanti ada pertikaian (kepada kemenangan itu) walaupun siapa yang mendapat kerusi majoriti di Dewan Rakyat, dia sah dari segi perlembagaan dan undang-undang untuk menubuhkan kerajaan.

“Kali ini kita nak cuba kejar undi popular… maksudnya kemenangan di Dewan Rakyat dan undi popular juga.

“Ini yang menyebabkan kita juga memberi tumpuan kepada kawasan bandar. Mungkin kita tidak dapat menang di kawasan bandar tetapi sekurang-kurangnya kita dapat meningkatkan undi popular kita di sini. Itu juga bagi saya ukuran yang penting sama ada kita dapat kembalikan majoriti undi popular kepada BN atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Mesyuarat Bahagian dan Sayap UMNO Kapar di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kapar, Datuk Faizal Abdullah dan Ketua Pemuda UMNO Selangor Zainuri Zainal. Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata untuk memastikan BN memperoleh undi popular, tumpuan meraih undi perlu dilaksanakan di semua kawasan pilihan raya termasuk yang tidak dimenangi BN.

Katanya, ia berikutan undi di kawasan sedemikian terutama di kawasan bandar turut memberi impak kepada pengundi di kawasan luar bandar.

Pada masa sama, beliau berkata, kawasan yang dianggap sukar memang tidak seharusnya diketepikan, sebaliknya jentera pilihan raya di kawasan terbabit perlu memastikan majoriti undi calon lawan dapat dikurangkan bagi menyumbang kepada undi popular BN.

“Sebab itu, walaupun kawasan macam Kapar yang agak susah nak menang, boleh kata susah nak menanglah tetapi kita mesti bagi tumpuan juga supaya kita dapat kurangkan majoriti (undi lawan) di sini.

“Undi popular ini tidak semestinya hanya memang di kawasan yang kita kuat tetapi juga di kawasan bandar yang ramai pengundi macam Kapar ini,” katanya.

Beliau berkata, jika BN berjaya menambah majoriti undi di kawasan seperti Kapar yang mempunyai pengundi teramai di negara ini, ia boleh menyumbang kepada undi popular BN.

Terdahulu ketika berucap, Khairy berkata, pengundi luar yang menetap di kawasan bandar memberi impak kepada calon BN di kawasan luar bandar.

Katanya, ia berikutan pengundi berkenaan selalunya membawa pulang ideologi dan propaganda pembangkang ke kawasan luar bandar, seterusnya mempengaruhi undi penduduk di kawasan berkenaan.

Justeru, katanya jentera pilihan raya di kawasan bandar perlu menggiatkan usaha untuk mengubah persepsi pengundi luar dengan memberikan penerangan terhadap isu yang dibangkitkan.-BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...