Doktor T. Vanitha nyaris maut ketika sebuah kereta memecut laju dari arah bertentangan namun beberapa saat kemudian, beliau mendengar bunyi dentuman kuat dan kereta yang dipandu laju itu telah merempuh sebuah kenderaan lain.
Ia mengakibatkan pemandunya, Mohamad Fandi Rosli, 26, terbunuh di tempat kejadian.
Dr Vanitha, 31, yang melihat kemalangan itu bersyukur kerana tuhan telah menyelamatkan nyawanya.
“Saya nampak sebuah kereta dengan laju menuju ke arah saya. Apa yang saya lakukan ialah memperlahankan kenderaan. Saya mengucapkan ‘Oh Tuhan’ dan di depan saya, kira-kira 50m jauhnya, kereta itu tiba-tiba berubah lorong.
“Ia kemudian bertembung dengan kenderaan lain dan berpusing di luar kawalan sebelum terkena kereta saya,” katanya seperti yang dilaporkan The Star.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, seorang pekerja kilang, Mohamad Fandi Rosli, 26, terbunuh akibat dirempuh sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus di atas jejambat Permatang Pauh.
Dia yang memandu kereta Perodua Kelisa kemudian terbabas ke arah kiri jalan dan merempuh sebuah motosikal ditunggangi Razali Abdullah, 27, yang dalam perjalanan ke Lahar Tiang, Kepala Batas.
Mohamad Fandi yang baharu tiga bulan berkahwin meninggalkan isteri Norashikin Halim, 26, yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Selayang, Selangor dan sedang mengandung empat minggu.
Sementara remaja perempuan yang merupakan pemandu berkenaan bukan sahaja dikesan berada dalam keadaan mabuk malah turut positif dadah. Dia kini ditahan reman.
Dr Vanitha berkata, dia kemudiannya keluar dari kenderaannya dan melihat Mohamad Fandi telah tercampak keluar.
“Saya berkejar ke arahnya dan berharap untuk memberikan bantuan kecemasan, namun saya dapati tiada denyutan nadi. Saya tetap melakukan CPR ke atasnya namun gagal menyelamatkannya.
“Sebagai seorang doktor, saya berasa kecewa kerana tidak dapat menyelamatkannya,” katanya.
Dr Vanitha turut mengalami kecederaan seperti lebam dan beliau mendakwa pemandu kereta yang merempuh mereka hanya duduk di dalam keretanya sehinggalah orang ramai mendesak dia keluar dari kenderaan itu.
Apa yang membuatkan beliau marah ialah pemandu berkenaan tidak mempedulikan mengenai mangsa kemalangan dan hanya memeriksa kecederaannya sendiri.
“Hanya beberapa ketika barulah dia bertanya mengenai keadaan mangsa,” katanya yang turut menjerit kepada pemandu terbabit.
Dr Vanitha, yang bertugas di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Bandar Sungai Petani, memberitahu dia berasa trauma selepas insiden terbabit dan tidak dapat membayangkan bagaimana beliau akan memandu lagi di jalan berkenaan untuk ke tempat kerja.
“Keluarga dan saudara-mara menasihatkan saya supaya memohon pertukaran tetapi saya sukakan tempat kerja saya. Saya akan mempertimbangkan nasihat itu,” katanya yang kini sedang cuti sakit.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW