Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada hari Rabu mempersoalkan tentang pendedahan dokumen cukainya bagi 2005, dan mengecam wartawan yang memperolehi penyata itu.
Dalam temu bual dengan Fox News, Trump berkata dia tidak tahu di mana wartawan itu memperolehi dokumen itu dan menyifatkan penerbitannya sebagai perbuatan “salah” dan “hina.”
“Saya tidak tahu di mana mereka memperolehinya tetapi ia adalah salah dan mereka tidak sepatutnya memperolehinya dan tidak sepatutnya dibocorkan,” katanya.
Tetapi Trump menegaskan bahawa dokumen cukai itu sendiri “sudah pasti bukan penyata cukai yang memalukan sama sekali.”
Terdahulu, beliau tertanya-tanya di Twitter di mana wartawan tersebut memperolehi dokumen tersebut.
“Adakah sesiapa benar-benar percaya bahawa seorang wartawan yang tiada siapa yang kenal, “pergi ke peti suratnya “dan jumpa penyata cukai saya? @NBCNews BERITA FAKE!”
Rumah Putih menyelar penerbitan dokumen itu, dan berkata ia adalah “salah sama sekali di sisi undang-undang untuk mencuri dan menyiarkan penyata cukai” dan menggelar penyiar yang melaporkan berita itu pada hari Selasa sebagai “terdesak untuk rating.”
“Media yang tidak jujur boleh terus menjadikan ini sebahagian daripada agenda mereka, manakala presiden akan memberi tumpuan termasuk kepada pembaharuan cukai yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Amerika,” kata seorang pegawai Rumah Putih.
Trump mempunyai bil cukai sebanyak AS$38 juta dan pendapatan dilaporkan hampir AS$153 juta pada tahun 2005, demikian menurut satu salinan dua halaman dari penyata cukai individu yang diterbitkan dalam talian oleh saluran berita termasuk rangkaian MSNBC.
Trump juga membayar “berpuluh juta dolar dalam cukai lain seperti cukai jualan dan cukai eksais dan cukai pekerjaan,” kata pegawai Rumah Putih itu.
Trump adalah calon presiden pertama dalam beberapa dekad ini yang enggan mendedahkan penyata cukainya, dengan memetik nasihat perundangan yang berkaitan dengan audit yang sedang dijalankan oleh Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri.-Malaysiakini
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW