loading...

Ikut Cara BN Kalau Pembangkang Mahu Menang, Kata Dr Mahathir

GEMAS – Pakatan pembangkang perlu mengikut cara BN sekiranya mahu menang pada PRU14 nanti.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rahsia kemenangan BN adalah kekuatan sebagai sebuah gabungan, tidak ada perpecahan dalam parti komponen walaupun ada kala terdapat perbezaan pendapat.

Menurutnya, kaedah itu digunakan sejak penubuhan parti Perikatan lagi sehingga berjaya membentuk kerajaan.

“Kalau mereka (BN) cantum diri mereka dalam satu gabungan dan bertindak bersama dengan satu matlamat, barulah boleh mencapai kejayaan. Inilah rahsia parti Perikatan dan kemudian BN.

“Rahsianya, mereka mempunyai 13 buah parti tetapi mereka tidak ada perpecahan di kalangan mereka dalam satu usaha untuk memenangi pilihan raya. Mungkin ada perbezaan pendapat antara MCA dengan (Yayasan) NAAM, MIC dengan PPP atau lain-lain, tetapi semua itu diketepikan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, berbeza dengan pakatan pembangkang yang tidak pernah bersatu secara serius, sebaliknya lebih suka menonjolkan parti masing-masing.

Beliau memberi contoh, setiap parti dalam pakatan yang berlawan dengan BN pada pilihan raya masih membawa imej serta simbol masing-masing, malah sebenarnya tidak mempunyai perpaduan yang rapat antara mereka.

“Saya fikir kalau kita boleh ada satu pakatan, satu gabungan yang kuat, kita boleh lawan BN dengan harapan kita akan menang,” katanya ketika berucap pada program Bicara Desa di Felda Jelai, di sini, malam kelmarin.

Beliau meminta pembangkang ketepikan segala perbezaan pendapat antara satu sama lain.

“Sebab itu, kita mesti lupakan sahaja masalah-masalah lama, tumpukan kepada usaha menjatuhkan kerajaan BN. Empat parti yang sudah bersetuju bergabung dan Bersatu secara rasminya telah mengumumkan bersama dengan Pakatan Harapan,” katanya.

Dalam ucapan itu, Dr Mahathir turut menyentuh penyertaannya dalam pakatan pembangkang yang disifatkan sebagai sesuatu yang sukar.

“Tapi yang peliknya, apabila saya bercakap berkenaan deklarasi rakyat, mereka (pembangkang) menunjukkan minat untuk bekerjasama. Saya amat menghargainya selepas saya buat u turn saya bersama pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir turut mengingatkan penyokong pembangkang supaya tidak mempercayai dakwaan kononnya Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri sekiranya BN tewas pada PRU nanti. – Sinar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...