loading...

Najib Kongsi ‘Evolusi’ Diri, Netizen Samakan Dengan Elvis Presley & Superman

KALAU Charles Darwin terkenal kerana telah membangunkan teori evolusi, Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak pula mengalami evolusinya yang tersendiri dari zaman kanak-kanak sehingga ke alam dewasa.

Najib, 63, yang juga presiden UMNO merupakan seorang pemimpin yang disifatkan sebagai seorang yang sangat mengikuti perkembangan teknologi dan begitu aktif berkongsi maklumat terkini melibatkan aktiviti harian beliau, termasuk memuat naik gambar swafotonya di media sosial yang berjaya mencuit hati semua lapisan masyarakat di negara ini.

Terbaharu, Najib menunjukkan ‘evolusi’ yang berlaku atas dirinya menerusi perkongsian gambar yang memaparkan dirinya seawal usia remaja sehingga sekarang.

“Evolusi saya dilihat dari kad pengenalan. Kemerosotan dan pemutihan rambut yg ketara,” kata Najib dalam kemaskini di laman sosialnya, malam tadi.

Berdasarkan gambar pada kad pengenalan Najib, dua foto hitam putih menunjukkan beliau ketika zaman muda, iaitu berusia 12 dan 18 tahun, sementara satu lagi foto berwarna menunjukkan wajah terkini beliau, yang mana gambar tersebut telah dihadiahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Hadiah daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Terima kasih,” katanya.

Sehingga kini, gambar transformasi Najib itu telah menerima lebih 20,000 ‘likes’ di laman Facebook dan kira-kira 2,000 perkongsian.

Malah, ia turut menarik perhatian pelbagai komen daripada pengguna media sosial, yang mana kebanyakkan daripada mereka menyatakan ketika remaja, Perdana Menteri kelihatan seperti Raja Rock and Roll Elvis Presley, selain ada yang menyatakan beliau mirip  watak superhero Superman.

Manakala segelintir pengguna media sosial lain turut memuji ketampanan Najib ketika remaja, sambil menambah bahawa beliau kelihatan seiras dengan Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak.

Pada 12 Mac lalu, Najib merasmikan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kelantan yang terletak di Kota Bharu, yang mana menyaksikan Perdana Menteri menerima cenderahati gambar evolusi beliau itu daripada Ketua Pengarah JPN, Mohd Yazid Ramli.

Kerajaan sebelum ini menggalakkan pendaftaran MyKad kanak-kanak berumur 12-16 tahun untuk MyKad12, dan 18-25 tahun bagi MyKad18 kerana masih ramai yang belum memohon untuk menukar MyKad, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

MyKad12 adalah sebahagian daripada Peraturan 3 di bawah Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang menyatakan bahawa kanak-kanak warganegara Malaysia yang telah mencapai usia 12 tahun, tetapi di bawah 16, mesti mendaftar untuk kad pengenalan.

Sementara, Peraturan 18 undang-undang yang sama menyatakan bahawa mana-mana individu yang telah mencapai usia 18 tahun dan merupakan warganegara atau pemastautin pemegang kad pengenalan tetap mesti mempunyai kad pengenalan gantian, MyKad18, yang perlu ditukar sebelum mencecah usia 25 tahun. – mD



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...