Mesti kalian tertanya-tanya kenapa saya yang dah 'pencen' sebagai diplomat ini, nak kongsi benda alah ini. Gara-gara saya kongsi warna baju untuk dipakai ketika temuduga Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), peti masuk FB (inbox) saya dipenuhi pertanyaan.
Baik, saya angkat bendera putih. Maafkan saya atas kudrat yang belum mampu menjawab semua pertanyaan itu. Saya mengerti dan faham kalian sedang berdebar menanti saat temuduga PTD.
Mudah-mudahan beberapa tip ini dapat membantu kalian.
Satu,
Berilah ucapan selamat atau salam dan berjabat tangan dengan erat (sesama jantina). Dari situ, kalian boleh mengenali peribadi panel.
Panel yang bersalam erat dan kita rasa kekuatan genggaman tangannya, menggambarkan beliau ialah seorang yang tegas dan serius. Panel seperti ini bukan boleh buat main-main. Fuh…. seram tak?
Sebab itu, di dalam sesi ‘personal coaching’ saya biasa kongsikan cara praktikal jabat tangan dengan lebih detail.
Dua,
Ketika memperkenalkan diri, cari kelainan. Memulakan perbualan dengan “Nama saya….berasal dari….” adalah klise.
Contohnya, cari 2-3 perkataan yang boleh menggambarkan diri kita. Kaitkan perkataan itu dengan diri kita.
“Saya dikenali dengan 2 perkara. Si Jawa yang boleh berbahasa Jepun dan nama yang begitu asing di telinga rakyat Malaysia…. Rudy Ludinata, itulah nama unik pemberian ayah. Saya lahir dan membesar sebagai anak Jawa di Banting Selangor. Pendidikan terakhir saya di Fukushima Jepun mendalami ilmu undang-undang dalam bahasa mereka sepenuhnya”.
Nah, ada kelainan bukan?
Tiga,
Soalan yang dikemukakan oleh panel biasanya berkaitan dengan intro yang berkisar tentang latar belakang diri kalian. Katakanlah kalian pernah menjadi pemimpin pelajar di universiti. Percayalah, ia tidak lari daripada topik itu. Misalnya,
“Bagaimana anda melihat kepimpinan Naib Canselor universiti anda dahulu dan sekarang?”
Empat,
Temuduga berjalan sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sepenuhnya.
“TR, ada tak panel yang bilingual?”
Jawapan saya ada. Tip saya, kalau panel bertanya dalam bahasa Melayu, jawablah dalam bahasa itu sepenuhnya. Begitu jua sebaliknya.
Mencampur-adukkan bahasa dalam satu-satu ayat merendahkan mutu jawapan dan daya keintelektualan kita.
Lima,
Saya pernah tulis tip pemakaian formal sebelum ini kan? Bersedialah dengan pakaian tersebut untuk ke temuduga. Kalian harus tip top. Tiada kompromi tentang hal ini. Kajian menunjukkan Penampilan Diri mewakili peratus yang besar terhadap ‘First Impression’ para panel kepada calon.
Enam,
Ambil tahu dasar-dasar awam yang perlu. Dasar yang penting dan dekat dengan rakyat itu antara soalan yang sering ditanya.
“Tahu pasal UTC tak? Apa itu UTC dan apa fungsinya?”
Ini, kalau benda senang macam itu tak tahu memang menangis. kad pengenalan atau passport boleh buat di UTC. Ha, kan itu salah satu perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Tujuh,
Pandangan dan pendapat manusia sering berbeza. Raikan perbezaan tersebut dengan emosi (EQ) terkawal. Bekerja sebagai PTD memerlukan kita bertugas dalam satu pasukan.
Bekerja bersendirian atau 'in silo" bukan ciri-ciri seorang PTD yang cemerlang. Apatahlagi, kita bakal berada di barisan hadapan. Integriti pula mesti jadi amalan.
Saya percaya 7 tip di atas hanyalah sebahagian tip yang boleh membantu kalian, dengan izin Tuhan.
Temu dan duga ialah formaliti pengesahan kalian yang bakal dipilih menjadi PTD. Lulus peperiksaan bertulis sudah satu hal. Berjaya ujian fizikal pula bukan senang. Terlepas peluang yang terakhir ini memang rugi. Saya yakin kalian orang yang bertuah.
Selamat maju jaya.
Rudy Ludinata
Mantan Diplomat Malaysia
Sila SHARE jika bermanfaat.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW