loading...

Lupakan Hadi Awang, Mari Kita Tawan Akar Umbi PAS, Kata Lim Kit Siang

SUBANG JAYA – Pembangkang boleh memenangi pilihan raya umum akan datang tanpa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika mereka mampu menawan penyokong akar umbi PAS, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Saya fikir ahli biasa PAS, jika mereka faham isu negara, mereka tidak akan mahu melihat Malaysia hancur.

“Kita mesti capai ahli biasa PAS, tak perlu pedulikan Hadi,” katnaya pada sesi teh tarik bersama belia di sini malam tadi.

Lim juga mendakwa Hadi tidak berminat untuk membanteras rasuah, yang membuatnya tidak faham kerana tidak ada agama yang boleh bertolak ansur dengan perbuatan seperti itu.

Mereka yang pernah bersekutu, PAS dan DAP kini bermusuhan selepas tidak bersetuju dengan rancangan Hadi untuk memperkenalkan hukuman syariah lebih ketat di negara ini.

Lim berkata memenangi kawasan pilihan raya PAS ialah satu daripada 5 sasaran yang perlu dicapai pembangkang jika mahu memenangi pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata pembangkang juga perlu memenangi lebih 3.5 juta pengundi Umno.

“Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak boleh pegang pemimpin Umno di peringkat negara, negeri dan bahagian, tetapi dia tidak boleh capai 3.5 juta ahli Umno.

“Kita boleh capai mereka jika kita beri penjelasan yang di bawah pentadbiran Najib, negara akan musnah akibat kleptokrasi, GST dan rasuah,” katanya.

Lim berkata 2 lagi sasaran ialah memenangi pengundi Sabah dan Sarawak.

Sasaran lain pembangkang ialah mengekalkan pengundi yang sebelum ini mengundi mereka pada pilihan raya umum.
“Jika kita boleh capai 5 perkara ini, Najib akan habis, Umno habis, BN habis.

“Kita boleh melihat harapan baharu. Mari berharap begitu, saya tidak tahu,” katanya.

Selain menawarkan belia peluang untuk berbual dan bertanya Lim soalan, sesi teh tarik itu juga bertindak sebagai tempat pendaftaran pengundi.

DAP juga membuka gerai pendaftaran keahlian di situ. – Fmt



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...