KUALA LUMPUR: Penyanyi yang digilap bakatnya dalam program realiti Akademi Fantasia (AF) musim keempat, Farhan Azizan, selamat melahirkan anak perempuan sulung di Hospital Putrajaya, kira-kira jam 10.30 malam tadi.
Isteri kepada Ahmad Rashadan Suhaimi itu berkongsi berita gembira menerusi aplikasi WhatsApp kepada BH Online. Bayi perempuan seberat 3.2 kilogram itu dilahirkan secara pembedahan.
“Alhamdulillah segala-galanya dipermudahkan. Saya tidak melalui proses yang panjang di bilik pembedahan. Semua lancar dengan izin-Nya.
“Hasrat suami yang mahukan anak perempuan akhirnya dimakbulkan. Saya tak kisah apa jantinanya, cukuplah dia lahir dengan segala sifat dan sihat,” katanya.
Pernah diuji dengan insiden keguguran Jun tahun lalu, Farhan bersyukur impian bergelar ibu menjadi kenyataan.
“Nikmat bergelar ibu sudah lama saya nantikan. Semoga bayi saya ini akan menjadi anak bijak dan baik,” katanya. Farhan dan Ahmad Rashadan bernikah pada Oktober 2014.-Bharian
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW