PENUNDAAN mengejut tayangan filem Beauty and The Beast yang sepatutnya bermula pada hari ini dilihat telah menjejaskan imej Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang dituduh menjadi punca penangguhan tersebut.

Tindakan penerbit filem tersebut mengeluarkan kenyataan umum yang mengelirukan turut menyebabkan pihak tertentu berani menuduh umat Islam Malaysia sebagai ekstremis kerana menyekat unsur gay dalam filem Walt Disney Pictures itu.

Pengerusi LPF, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid telah menjelaskan pihaknya sudah lama menyiapkan tapisan dan hasil akhir telah diluluskan sehinggakan pengusaha pawagam boleh mengumumkan tarikh tayangan.