KUALA LUMPUR ― Tindakan tegas perlu diambil dengan menarik balik segala lesen filem artis kontroversi Wee Meng Chee, atau dikenali dengan Namewee, gesa Persatuan Seniman Malaysia.
Presiden Seniman, Zed Zaidi, menyifatkan klip video lagu terbaru Namewee Oh My God yang dianggap menyinggung perasaan umat Islam sebagai melampaui batas.
“Terutamanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia, SKMM dan juga Finas, saya cadangkan, apa sahaja lesen produksi [Namewee], tarik balik,” katanya dalam laporan akhbar Sinar Harian, merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.
“Siasatlah perkara ini supaya kejadian itu tidak berulang lagi sebab Namewee ini sudah terlalu banyak buat perangai.”
Tegasnya, Lembaga Penapisan Filem, Finas dan SKMM juga perlu bertanggungjawab menyediakan garis panduan melibatkan media sosial dalam seni visual dan sebagainya.
Namewee katanya semakin berani mengguris perasaan rakyat beragama Islam di negara ini gara-gara perbuatannya sebelum ini tidak dikenakan tindakan tegas.
“Sebelum-sebelum ini dia buat juga tapi sekarang dia berani buat lagi kenapa? Kerana tidak ada tindakan. Esok dia buat lagi. Orang macam ini, kena tangkap, masukkan dalam lokap.
“Bila dia tayang di YouTube, satu dunia boleh tengok. Maknanya, dia nak tunjuk kononnya agama Islam di Malaysia ini terlalu liberal sampai boleh menari dalam masjid.”
Polis Pulau Pinang sebelum ini dilaporkan telah membuka kertas siasatan berhubung video berdurasi 4:05 minit tersebut yang menjadi viral dan menimbulkan kemarahan sebilangan umat Islam.
Video klip berlatarbelakangkan beberapa rumah ibadat termasuk masjid menunjukkan aksi empat lelaki yang menyanyikan lagu Oh My God, masing-masing memakai pakaian pemimpin agama di negara ini. – MalayMail
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW