PEKAN – Semua anggota dan pemimpin Umno perlu bersatu menentang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta bekas pemimpin parti yang cuba membakar ‘khemah besar Umno’ yang selama ini telah menaungi orang Melayu.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berkata, anggota Umno perlu sedar Mahathir bukan lagi pejuang parti sepertimana 22 tahun beliau menjadi perdana menteri dan presiden Umno.
“Dr Mahathir kini kita lihat cuba membakar ‘khemah besar Umno’. Sebaik meninggalkan parti beliau sanggup duduk semeja dengan pembangkang semata-mata nak hancurkan perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).
“Kita perlu bangkit dan halang beliau daripada melakukan perkara ini kerana khemah inilah yang menjadi tempat anak bangsa kita bernaung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pemuda Umno bahagian Pekan di sini, hari ini.
Khairul Azwan berkata, kenyataan Mahathir baru-baru ini yang memberi gambaran tiga ‘Tan Sri’ yang didakwa bersubahat untuk menggulingkan perdana menteri telah dikhianati jelas membuktikan laporan polis yang beliau buat berhubung perkara itu berasas.
“Dr Mahathir sendiri beri pengakuan bahawa tiga ‘Tan Sri’ ini telah dikhianati dan kenyataan ini secara langsung mengesahkan konspirasi ini benar-benar berlaku dan berada dalam pengetahuannya, ini Mahathir kata sendiri tanpa sebarang paksaan.
“Jadi terpulang kepada polis untuk siasat apa yang saya laporkan sebelum ini selepas kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh Dr Mahathir ini,” katanya. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan polis bertindak menghentikan siasatan terhadap laporan yang dibuat Khairul Azwan kerana ia hanya berdasarkan kepada andaian dan dengar cakap tanpa sebarang bukti yang kukuh.
Pada 26 Julai lepas, Khairul Azwan membuat laporan polis terhadap bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed kerana didakwa merancang konspirasi menggulingkan perdana menteri. – Bernama
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW