loading...

Pesara Tentera Tidak Boleh Tidur Kenang Peristiwa Tembak Komunis

ARAU – Setiap kali teringatkan peristiwa membunuh komunis dengan tangan berlumuran darah, saya sukar melelapkan mata, kata pesara tentera, Koperal (B) Abd Hadi Kassim.

 

 

Walaupun peristiwa itu berlaku hampir 35 tahun, Abd Hadi, 64, berkata dia tidak dapat menggambarkan perasaannya yang bercampur baur setelah membunuh komunis.

 

 

“Jika diberi pilihan, saya tidak mahu membunuh tetapi dalam perjuangan mempertahankan kedaulatan tanah air, membunuh musuh adalah mulia.

 

 

“Amanah yang diikrar wajib dipikul. Selagi ada kudrat, saya tetap mengangkat senjata. Ibarat membujur lalu, melintang patah,” katanya yang berkhidmat selama 21 tahun dengan Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan bersara pada 1992.

 

 

PERTEMPURAN PERTAMA

 

Sambil mengingati peristiwa bertempur dengan komunis dalam ladang getah semasa bertugas di Kem RAMD Mentakab, Batu 5, Bentong, Pahang, Abd Hadi berkata peristiwa 1981 itu benar-benar menguji ketahanan mental dan strategi mereka.

 

 

“Kami (tiga orang) berada di bawah bukit manakala musuh di atas bukit. Jika salah perkiraan pasti ada antara kami boleh terkorban,” kata anak jati Perlis ini.

 

 

Menurutnya setelah pasti di atas bukit ialah komunis, beliau melepaskan tembakan pertama dan berlakulah tembak menembak hampir lima minit apabila akhirnya komunis berundur.

 

 

“Kami amat bersyukur kerana terselamat malah berjaya membunuh dua pengganas komunis dalam pertempuran itu manakala dua rakan mereka melarikan diri,” tambahnya.

 

 

TEMBAK KOMUNIS DALAM OPERASI

 

Abd Hadi berkata dalam satu operasi semasa membuat pembersihan dan memeriksa petanda selepas satu pertempuran beliau terkejut menemui seorang komunis masih hidup.

 

 

“Saya agak terkejut melihat komunis tersebut menggerakkan badan. Dengan spontan saya melepaskan satu das tembakan ke badan sehingga darahnya merecik mengenai badan dan tangan saya,” kata Abd Hadi sambil air matanya bergelinang.

 

 

Beliau berkata, hari kejadian itu adalah hari terakhir operasi dan mereka boleh kembali ke markas di dalam hutan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

 

 

“Saya pulang ke rumah dengan uniform dipenuhi darah dan langsung tidak boleh tidur sepanjang malam kerana fikiran celaru terkenang peristiwa menembak komunis dari jarak dekat,” katanya.

 

NASIHAT KEPADA GOLONGAN MUDA
Beliau menyifatkan anggota tentera zaman sekarang amat beruntung kerana menggunakan teknologi maju untuk menjejaki musuh namun tidak boleh leka kerana musuh boleh muncul dalam pelbagai rupa dan bentuk.

 

 

Sambil menasihatkan golongan muda agar tidak lalai, Abd Hadi berkata generasi sekarang perlu diterap semangat untuk mempertahankan kemerdekaan yang menjadi anugerah Allah SWT walaupun bukan dengan mengangkat senjata.

 

 

Abd Hadi berbangga kerana dua anak lelakinya mengikut jejak langkah beliau menyertai tentera.-Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...