loading...

Dr Mahathir Perlu Menghadap Sultan Johor

JOHOR BAHRU – Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berhubung kenyataan beliau mengenai Bangsa Johor.

 

Presiden Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee, berkata isu itu dipercayai timbul apabila Tun Dr Mahathir sebagai bekas pemimpin persekutuan tidak memahami sejarah berkaitan Bangsa Johor.

 

“Tun Mahathir sebagai bekas pemimpin persekutuan, jadi mungkin dia tidak melihat sejarah asal. Bila Tuanku maklum bahawa idea Bangsa Johor diwujudkan oleh moyang baginda sendiri bukan untuk memecah belah tetapi kekuatan yang ada untuk memperkuatkan lagi di peringkat persekutuan.

 

“Kalau semua negeri ada idea satu gagasan seperti Johor, ia akan mantapkan dan kuatkan lagi di peringkat persekutuan. Mungkin Tun Mahathir terlepas pandang sejarah Johor tetapi dia melihatnya sebagai pemimpin persekutuan (bahawa) kalau ada (istilah Bangsa Johor) ia pecah belah, sebenarnya ia tidak akan berlaku,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

Syed Hussien berkata, selain dapat memahami secara terperinci mengenai konsep bangsa Johor, ia diharap dapat menjernihkan suasana serta tidak mahu isu itu berlarutan.

 

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya berdiri teguh di belakang Sultan Johor yang mempertahankan gagasan Bangsa Johor sebagai hak mutlak rakyat Johor yang tidak perlu dipertikaikan.

 

“Bangsa Johor sememangnya sudah termaktub lipatan sejarah Johor sebagai satu wadah yang diterima baik dalam usaha menyatupadukan rakyat Johor tanpa mengira keturunan dan etnik. Ia juga adalah satu keunikan yang hanya wujud di Johor dan menjadi jati diri anak Johor.

 

“Walaupun rasa jati diri ini begitu teguh dan utuh, tidak pula anak Johor menidakkan semangat patriotisme kebangsaan. Kami mengambil kira bahawa kemantapan dan perpaduan di peringkat nasional haruslah bermula daripada kemantapan serta keteguhan di peringkat negeri,” katanya.

 

Syed Hussien berpendapat tidak salah jika rakyat negeri ini mengambil konsep Bangsa Johor sebagai identiti kenegerian kerana setiap orang tidak boleh lari dari mana asal mereka kerana ia mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. – BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...