loading...

Sambutan Merdeka Meriah Dengan Semangat Bebersatuan

KUALA LUMPUR – Ribuan rakyat Malaysia mengambil peluang menyaksikan perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2016 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

 

Mereka mula berhimpun seawal jam 7 pagi bagi menunjukkan semangat kebersatuan dalam menghayati sambutan ‘Sehati Sejiwa’ pada acara penuh kemeriahan dan warna warni.

 

Pelbagai persembahan bertenaga dan perbarisan ditampilkan oleh hampir 14,500 peserta pelbagai kontinjen, termasuk daripada sektor awam dan swasta, pelajar serta anggota pasukan keselamatan.

 

Berangkat pada acara perbarisan dan perarakan sambutan di dataran penuh bersejarah itu ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

 

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis, Jemaah Menteri serta perwakilan asing.

 

Sejurus berangkat tiba, Seri Paduka menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan pasukan Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi diketuai Mejar Azadlee Rafedzi Kamal Rafedzi.

 

Ia diikuti acara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), serentak dengan 14 das tembakan kehormat disusuli dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.

 

Antara yang menarik perhatian adalah persembahan khas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pertunjukan menumpaskan musuh, selain kemunculan istimewa atlet negara yang mengharumkan nama negara di Sukan Olimpik Rio, Brazil. – BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...