JERAI – Detik mencemaskan bagi seorang wanita yang sarat mengandung tambah berganda apabila dia terpaksa bersalin dalam kereta disambut suaminya sebelum kenderaan itu kemudian terlibat dalam kemalangan di Jalan Ruat di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, pasangan suami isteri, Muhammad Sholehin Yunus, 21, dan Nurul Jannah Mansor, 19, dalam perjalanan ke Hospital Yan di sini untuk bersalin.
Menurut Nurul Jannah, dia dan suami bergegas ke hospital dari Taman Universiti Jaya di Semeling Sungai Petani selepas merasa sakit seperti mahu bersalin sejak pukul 11.45 pagi semalam.
“Namun, ketika dalam perjalanan ke hospital saya minta suami berhentikan kereta kerana saya nampak kepala bayi sudah keluar separuh.
“Tidak lama selepas itu, bayi selamat dilahirkan dengan disambut suami sebelum kami meneruskan perjalanan ke hospital,” katanya ketika ditemui di Hospital Yan di sini hari ini.
Kata suri rumah itu, mereka bagaimanapun berdepan satu lagi detik cemas apabila kereta Perodua Viva dipandu suami bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang membuat pusingan U secara mengejut dari arah bertentangan.
“Saya yang meriba bayi dengan tali pusatnya masih belum dipotong hanya mampu menjerit dan saya bersyukur kami tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Tambahnya, dia dan bayi itu kemudiannya dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.
“Saya tidak menyangka bersalin awal kerana tarikh jangkaan bersalin adalah dua minggu lagi, namun saya bersyukur saya dan bayi perempuan seberat 2.67 kilogram ini sihat dan mungkin dibenarkan pulang ke rumah pada esok,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Muhamad Halim Yatim berkata, tiga beranak yang menaiki kereta Perodua Viva dan pemandu Perodua Myvi, Hasna Ahmad Said, 71, tidak mengalami sebarang kecederaan.-Utusan
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW