loading...

Pemuda PAS Perak Kecam NGO Hina Mufti Perak

IPOH – Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mengecam tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dan Inisiatif Kesaksamaan Gender (GEI) kerana menghina Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria dalam sebuah majlis anugerah ‘Aiyoh Wat Lah’ di Petaling Jaya, dua hari lepas.

 

Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, tindakan pertubuhan berkenaan yang menamakan Dr Harussani sebagai pemenang anugerah kategori ‘menghina intelektual’ adalah perbuatan biadab dan menghina keilmuan serta keintelektualan beliau yang dilantik Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai mufti.

 

“Tan Sri Harussani berhujah atas dasar ilmu dan kebenaran. Hujah yang dikeluarkan dalam isu tiada konsep rogol dalam perkahwinan adalah bertepatan dengan perihal munakahat berlandaskan syarak,” katanya dalam sidang media di pejabatnya sini hari ini.

 

Sebagai contoh pada April tahun lepas, Dr Harussani berdasarkan sebuah hadis menjelaskan konsep rogol dalam perkahwinan tidak wujud kerana isteri tidak boleh menolak kehendak seks suami kecuali datang bulan, sakit dan melahirkan anak.

 

Pada Ahad lepas, NGO berkenaan memilih Dr Harussani memenangi kategori itu kerana kenyataan-kenyataannya dianggap tidak logik dan tidak rasional.

 

Mohd Akmal berkata, pihaknya memandang serius kekerapan penghinaan terhadap agama Islam oleh beberapa NGO dan individu atas nama kebebasan bersuara dan hak asasi manusia.

 

“Tindakan mereka jelas menunjukkan kurangnya kefahaman terhadap Islam malahan lebih parah apabila ada yang mula menentang Islam secara terang-terangan,” katanya.

 

Sehubungan itu, pihaknya meminta kerajaan agar dapat menangani isu sebegini dengan segera supaya ia tidak menular sehingga menjadi perkara biasa dalam masyarakat.

 

“Ia mesti dibendung segera demi kedaulatan undang-undang dalam Perlembagaan Malaysia Fasal 3(1) yang menyatakan Islam agama persekutuan juga agama rasmi negara. Tambahan pula penyebaran fikrah songsang semakin parah dan membawa kesan buruk kepada umat Islam di Malaysia khususnya di Perak,” katanya.

 

Pihaknya juga menyatakan kesediaan untuk berdialog, berdiskusi dan bertemu mana-mana pihak yang ingin mendapat penjelasan tentang isu ini mahupun agama Islam, katanya.

 

“Dalam masa yang sama seluruh umat Islam diingatkan untuk bersatu dalam perjuangan memartabatkan Islam dan menerapkan cara hidup berlandaskan Islam baik dalam pentadbiran, politik, perundangan, ekonomi, munakahat dan muamalat demi membina Malaysia yang sejahtera,” katanya. – BERNAMA



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...