KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa bersikap terbuka dalam isu pindaan Perlembagaan Persekutuan 1994 yang mengehadkan kuasa Yang Di-Pertuan Agong.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said bagaimanapun berkata, ia perlu dikaji secara menyeluruh untuk mengelakkan persepsi kerajaan yang tidak konsisten.
“Apa sahaja pindaan tidak mustahil dilakukan seandainya ada arahan dan mengikuti semua prosedur undang-undang yang ditetapkan.
“Kalau Kabinet minta dikaji kita kaji. Selagi tidak diarah, saya secara peribadi melihat apa yang termaktub di dalam Perlembagaan itulah undang-undang masa kini.
“Kalau perlu diubah, memang undang-undang itu boleh diubah, tetapi kalau diubah ia perlu justifikasi,” katanya semasa sidang mesia selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja Khas Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Jabatan Perdana Menteri di bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, UMNO tidak berhasrat untuk mengubah semula pindaan Perlembagaan Persekutuan 1994 yang mengehadkan kuasa Yang Di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, Hishammuddin berpendapat, masih ada ruang penambahbaikan supaya pindaan yang telah dibuat itu memberi kebaikan untuk negara.
Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan, pindaan yang dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pemerintahannya adalah atas dasar kepentingan peribadi bekas Perdana Menteri itu.
Sementara itu, Azalina ketika mengulas objektif utama penubuhan Jawatankuasa Kerja Khas JPG berkata ia adalah untuk menaik taraf dan meningkatkan lagi akses rakyat kepada keadilan dan perkhidmatan perundangan di dalam negara.
“Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat kali ini adalah mengenal pasti langkah-langkah supaya bantuan guaman dapat diberikan dengan lebih efektif dan efisien dan merangka tadbir urus sumber bantuan guaman untuk membolehkan bantuan guaman mudah diakses dengan kos yang berpatutan kepada rakyat secara adil.
“Selain itu kita turut membincangkan pendekatan yang inovatif untuk meminimumkan kebergantungan rakyat terhadap bantuan guaman serta mengkaji pendekatan-pendekatan baharu untuk mentransformasi perkhidmatan bantuan guaman dalam negara,” jelasnya.-Awani
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW