loading...

Mahu cuti atau kena buang kerja?

Putrajaya- Kementerian Kesihatan menggesa dihentikan segera aktiviti penjualan sijil cuti sakit dalam talian yang masih berleluasa.

 

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penjualan sijil cuti sakit palsu itu mendatangkan pelbagai implikasi negatif kepada produktiviti negara dan isu perundangan.

 

Katanya, masih ramai masyarakat mengambil mudah mengenai perkara itu, sehingga mengiklankan penjualan sijil berkenaan dalam talian, sama ada dengan atau tanpa pembabitan pengamal perubatan dan pergigian berdaftar di klinik dan hospital swasta mahupun kerajaan.

 

“Walaupun pelbagai alasan diguna untuk menghalalkan salah guna sijil cuti sakit, kementerian menegaskan sijil itu adalah satu bentuk dokumen pengesahan yang hanya boleh dikeluarkan pengamal perubatan atau pergigian berdaftar.

 

“Dari segi perundangan, sijil cuti sakit yang boleh diterima pakai hanya yang dikeluarkan pengamal perubatan berdaftar atau pengamal pergigian berdaftar,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Beliau meminta orang ramai menghindarkan diri daripada menggunakan perkhidmatan penjualan sijil cuti sakit dalam talian kerana tindakan mengemukakan sijil palsu boleh menyebabkan seseorang dibuang kerja.

 

Sehubungan itu, beliau menyarankan majikan atau ketua jabatan bertindak tegas dengan tidak menerima sijil cuti sakit palsu.

 

Noor Hisham berkata, mereka yang meragui kesahihan sijil cuti sakit atau tahu wujudnya aktiviti penjualan serta pengeluaran sijil cuti sakit palsu, perlu membuat laporan polis.

 

Jika ia membabitkan pengamal perubatan berdaftar, aduan boleh dibuat kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) manakala aduan pengamal pergigian disalurkan kepada Majlis Pergigian Malaysia (MDC).

 

Aduan bagi kejadian penjualan sijil cuti sakit palsu oleh klinik atau hospital swasta boleh dibuat melalui emel di ckaps.aduan@moh.gov.my.-Hmetro



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...