loading...

Silat Bawa Pulang Lapan Emas

SKUAD silat kebangsaan ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila meraih lapan pingat emas serta tiga perak ketika meraih gelaran juara keseluruhan Kejohanan Silat Terbuka Belanda semalam.

 

 

Malaysia mencipta sejarah tersendiri dengan menyapu bersih semua pingat yang dipertandingkan selepas me­nge­tepikan pesilat-pesilat tuan rumah serta skuad pencabar terdekat, Indonesia.

 

 

Pengurus skuad negara, Datuk Osman Nok berkata, pencapaian dipersembahkan para pesilat kebangsaan itu amat memberangsangkan, sekali gus memberi keyakinan tinggi untuk menghadapi Kejohanan Silat Dunia yang akan berlangsung di Bali, Indonesia pada Disember depan.

 

 

“Kita telah melakukan persediaan rapi sebelum me­nyertai kejohanan di Belanda. Sudah pasti ia bukan tugas mudah kerana kejohanan ini turut dihadiri pasukan dari benua Eropah serta Asia Tenggara.

 

 

“Bagaimanapun, kita berbangga dengan prestasi atlet kerana menunjukkan peningkatan teknik dalam persembahan. Kesungguhan ini perlu dikekalkan sehingga perlawanan akan datang untuk menjelmakan lebih ba­nyak pingat emas.

 

 

“Menerusi pencapaian ini, saya yakin pesilat negara telah menunjukkan sema­ngat tinggi dan dilihat sudah bersedia menghadapi Kejohanan Dunia di Bali. Ia juga persiapan yang baik untuk menghadapi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur nanti,” katanya dihubungi semalam.

 

 

Kejohanan di Belanda me­nyaksikan Mohd. Al-Jufferi Jamari dinobatkan sebagai pesilat terbaik apabila meraih emas menerusi kelas E Putra.

 

 

Mohd. Fauzi Khalid, Mohd. Zarish Hakim Shukor dan Razak Ghazali serta Taqiyuddin Hamid pula masing-masing menghadiahkan satu pingat emas buat skuad kebangsaan.

 

 

Atlet puteri, Siti Rahmah Mohamed Nasir, Noor Farhana Ismail dan Siti Humairah Ismail turut menghadiahkan satu pingat emas menerusi acara ma­sing-masing.

 

 

Pingat perak pula diraih Ahmad Badri­rullah Rahmat, Mohd. Firdaus Latib dan Nurul Ain Sohrab.

 

 

Selain Malaysia, Indonesia serta Belanda, keseluruhan 100 pesilat melibatkan lima negara iaitu Singapura, Maghribi, Jerman, United Kingdom dan Perancis me­nyertai pertandingan yang bermula pada 27 Ogos lalu.-Kosmo

 



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...