loading...

“PKR, DAP Rampas Demonstrasi Anjuran Pelajar”

KUALA LUMPUR – Demonstrasi jalanan anjuran sekumpulan pelajar universiti di Dataran Merdeka semalam telah ‘dirampas’ oleh ahli-ahli politik daripada PKR dan DAP.

 

Aktivis propembangkang, Khalid Mohd. Ismath berkata, pelajar-pelajar universiti yang menyertai perhim­punan tersebut hanya diberi peranan sebagai pemegang alat pembesar suara dan mikrofon.

 

Menurut beliau, giliran pemim­pin yang berucap juga ditentukan oleh aktivis propembangkang, Hishamuddin Rais dan bu­kannya penganjur.

 

“Saya tak pasti apa nama YB (Yang Berhormat) muda DAP dan PKR itu yang tergila-gila sangat untuk naik ke pentas dan digila-gilakan sangat oleh penganjur untuk berikan dia mikrofon untuk berucap.

 

“Apabila berjalan, saya melihat segala arahan, perjalanan dan aturan perhimpunan serta pergerakan bukan dikepalai mahasiswa pun,” katanya dalam catatan melalui laman Facebook beliau malam semalam.

 

Khalid pernah menjadi salah seorang penganjur demonstrasi pelajar di Dataran Merdeka empat tahun lalu dan kini, beliau merupakan pemimpin Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM).

 

Beliau turut mempersoalkan menga­pa gerakan pelajar universiti masa kini tidak mampu berdikari sehingga terpaksa bergantung ke­pada parti politik untuk menganjurkan demonstrasi.

 

“Kita boleh pilih apa parti politik yang kita mahu tetapi jangan mempergunakan gerakan mahasiswa sebagai keldai parti. Golongan pelajar universiti sepatutnya mengepalai demonstrasi berkenaan dengan gaya, pemikiran dan zaman mereka sendiri,” katanya.

 

Menurutnya, rakyat semakin bijak menilai dan rakyat semakin ramai yang tidak mahu turun berhimpun kerana bencikan parti politik pembangkang yang sering membosankan mereka.

 

“Pelajar-pelajar  uni­versiti diingatkan agar tidak mengikut telun­juk pemimpin-pemimpin terma­suk yang menganggotai Bersih. Mereka hanya berniat mempergunakan gerakan anda untuk misi dana dan politik mereka semata-mata,” kata­nya.

 

Khalid mendakwa, Bersih tidak mengambil sebarang tindakan untuk membayar ikat jamin pelajar-pelajar yang ditahan pihak berkuasa dalam beberapa demonstrasi yang dianjurkan sebelum ini.

 

“Oma Mohamad diikat jamin tanpa satu sen pun duit daripada Bersih walaupun Pengerusinya, Datuk S. Ambiga beria-ia kata duit Bersih ada beratus ribu semasa kutipan dana Bersih,” jelasnya.

 

Beliau menambah, gerakan pelajar berubah menjadi kotor apabila ada di antara mereka yang sanggup merempuh pagar universiti untuk ahli politik yang tidak dapat masuk ke dalam kampus.

 

Khalid berkata, situasi ‘kotor’ itu berlaku apabila segelintir pelajar universiti sanggup menggadaikan masa depan mereka memperjuangkan kepentingan seorang ahli politik yang sangat kaya. – UTUSAN



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...