Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mempertikaikan tindakan sekumpulan aktivis yang memfailkan tuntutan mahkamah bagi memohon perintah penangkapan dan pengusiran terhadap pendakwah, Zakir Naik.
Katanya, tidaklah pelik jika mereka itu dari kumpulan bukan Islam yang tidak suka dengan dakwah, tetapi turut disertai oleh beberapa individu yang beragama Islam.
“Namun yang pelik jika ada yang mendakwa diri mereka Muslim tetapi meminta supaya tokoh pendakwah Muslim yang terkenal dengan hujahnya itu ditangkap.
“Apakah bukti dia (Zakir Naik) mengancam?
“Apakah hanya kerana ada Hindu yang menganut Islam lalu mereka ini begitu sensitif? Atau apakah alasan yang lain?” soalnya dalam satu catatan di Facebook.
Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy dan 18 yang lain, termasuk ADUN Bingkor Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives Lim Teck Ghee memohon mahkamah mengeluarkan perintah penangkapan dan pengusiran terhadap Zakir.
Mereka juga memohon satu lagi perintah bagi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk segera menangkap pendakwah Islam itu.
Kumpulan itu turut memohon perintah untuk membatalkan status Zakir sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia, jika ini telah diberikan.
Defendan yang dinamakan dalam saman itu adalah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan kerajaan Malaysia.
Menurut Waythamoorthy, mereka telah mengutus surat kepada Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Perdana Menteri mengenai status imigresen Zakir dan kedudukannya di negara ini.
Namun usaha mereka tidak mendapat sebarang maklum balas.
Bagaimanapun, beliau berkata mereka percaya bahawa Zakir masih berada di Malaysia ketika ini.
Plaintif juga memohon deklarasi bahawa Zakir adalah ancaman kepada keselamatan, keharmonian dan perpaduan negara ini.
Dalam dokumen mahkamah itu, mereka mendakwa bahawa ajaran Zakir menggalakkan keganasan dan akan merosakkan perpaduan berbilang kaum dan keamanan di Malaysia.
Waythamoorthy berkata Zakir juga telah diharamkan di beberapa negara, termasuk Kanada dan United Kingdom.
Selain Siti Kassim, individu beragama Islam yang memohon perintah berkenaan termasuk Muhammad Mujahidin Zulkiffli dan Asiah Abd Jalil.
“Saya seorang Muslim dan saya menolak Zakir Naik.
“Saya percaya saya akan mendapat sokongan padu dari rakyat Malaysia yang sederhana bahawa kita semua harus melindungi Zakir daripada menyebarkan sikap radikal dan ekstremis beliau,” kata Muhammad Mujahidin.
Seorang lagi plaintif, Asiah Abd Jalil, berkata, walaupun Islam adalah agama rasmi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, apa-apa ucapan yang menghina dan menyebabkan kebencian agama lain tidak boleh diterima dalam masyarakat Malaysia yang majmuk ini.-Malaysiakini
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW