loading...

Indah Teringin Ke Pentas AJL Lagi

KUALA LUMPUR: Single Percayalah bukan sekadar mengukuhkan nama Indah Ruhaila di persada muzik tanah air, malah bersama lagu berkenaan juga beliau mampu melangkah ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29.

 

Menurut Indah, 29, pengalaman beraksi di pentas berprestij terbabit begitu istimewa dan bakal dikenang buat tempoh yang lama.

 

Justeru, beliau memasang impian untuk sekali lagi berentap pada acara anugerah berkenaan menerusi lagu terkini nyanyiannya, Semua Untuk Cinta, yang dihasilkan Hael Husaini dan Ezra Kong.

 

“Besar harapan saya untuk melihat lagu Semua Untuk Cinta layak ke separuh akhir Muzik Muzik dan seterusnya ke AJL. Ketika ini, lagu itu sudah pun memasuki carta program berkenaan.

 

“Peminat pun nampaknya sedang melakukan gerak gempur mengundi lagu ini. Mereka memang hendak melihat saya membuat persembahan sekali lagi di pentas AJL. Begitupun, ketika ini masih terlalu awal untuk menjangkakan apa yang akan berlaku,” katanya yang yakin jika rezeki menyebelahi diri, peluang ke pertandingan itu akan tiba juga nanti.

 

Indah turut meluahkan kegembiraan apabila lagu barunya mendapat maklum balas positif daripada peminat. Selepas Percayalah yang dihasilkan pada 2013, Indah pernah muncul dengan lagu Di Sebalik Takdir dan duet dengan Ewal menerusi lagu Cerita Cinta Kita, dua tahun lalu.

 

Bagaimanapun kedua-dua karya berkenaan tidak berupaya mengulangi pencapaian Percayalah, lagu ciptaan Aiman, yang turut dinyanyikannya di pentas akhir Akademi Fantasia 2013.

 

Mengenai Semua Untuk Cinta, Indah yang ketika ini masih bercuti di Jepun, mengakui naskhah itu agak berbeza dengan lagu nyanyiannya sebelum ini.

 

“Dua single saya sebelum ini berentak melankolik. Tetapi untuk lagu ini, walaupun masih berkisar pada cinta, ia lebih kepada perasaan gembira. Ia jelas menggambarkan perasaan saya ketika ini,” kata Indah yang turut merakamkan lagu untuk runut bunyi filem Kau Yang Satu, arahan Osman Ali.-Bharian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...