TANJUNG DAWAI – Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM350,000 bagi melaksanakan tiga projek pembangunan untuk manfaat nelayan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata projek itu ialah pembinaan Jeti Sungai Deraka bernilai RM250,000, pembinaan bangsal Sungai Baru (RM50,000) serta menaik taraf Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) Tanjung Dawai (RM50,000).
“Selain itu, terdapat dua lagi jeti yang perlu dibaiki di DUN Tanjung Dawai, sekarang ini dalam peringkat perbahasan di Parlimen… apabila mendapat kelulusan dan peruntukan usaha menaik taraf jeti terbabit dijangka akan bermula tahun hadapan.
“Ini adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan nelayan di kawasan ini, dan banyak lagi pembangunan akan dilaksanakan untuk nelayan, termasuklah meneruskan projek pembinaan rumah untuk mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan Tanjung Dawai di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Dawai, di sini, hari ini.
Hadir samaPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai Datuk Tajul Urus Mat Zain.
Dalam pada itu, Tajuddin berkata golongan nelayan dan petani termasuk penternak, dan pesawah perlu mengubah minda, sikap dan pemikiran agar lebih berdaya saing untuk meningkatkan taraf ekonomi.
“Kerajaan elah melancarkan Gelombang Nelayan Nasional dan Gelombang Tani Nasional, bertujuan mengubah pemikiran nelayan dan petani supaya lebih kompetitif dan berdaya saing… kalau hendak meningkatkan ekonomi, tidak boleh lagi guna cara lama, kena guna cara, teknologi, peralatan dan pengurusan baharu.
“Sebaiknya nelayan turut menjadi usahawan dengan menghasilkan produk hiliran daripada hasil tangkapan, begitu juga petani… memang bukan mudah kerana perlukan modal, ilmu dan sebagainya, tetapi ada agensi kerajaan yang akan membantu,” katanya.
Pada majlis itu, Tajuddin turut menyampaikan Bantuan Azam Tani berupa mesin dan peralatan yang bernilai RM90,000 kepada 10 penerima dan Elaun Sara Hidup berjumlah RM3.04 juta kepada 886 nelayan di kawasan itu.
Terdahulu, beliau meninjau lokasi tapak Jeti Nelayan Sungai Deraka serta melawat PPHP Tanjung Dawai, yang mencatatkan hasil pengeluaran sebanyak 27,361 kilogram bernilai RM209,411 dan Projek FishPro Tanjung Dawai yang mencatatkan nilai jualan sebanyak RM24,878 setakat ini pada tahun ini. – BERNAMA
Loading...