Kredit foto: Instagram Fazura
Umum sedia maklum dengan keintiman pasangan pelakon Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura sejak berganding dalam drama rantaian Hero Seorang Cinderella.
Hubungan rapat berusia tujuh bulan itu nyata tidak disembunyikan kepada khalayak apabila mereka acapkali tampil memenuhi undangan ke acara hiburan secara bersama, di samping rajin berbalas komen di media sosial.
Para peminat pula dilihat semakin mengharapkan agar pasangan yang dikenali sebagai 'fattzura' ini benar-benar menjalin cinta.
Terbaru, kehangatan hubungan ini disemarakkan dengan desas-desus yang mengatakan mereka bakal bertunang pada 13 November ini!
Dakwaan itu dikuatkan lagi dengan kewujudan tanda pagar #roadtopekan di media sosial seakan memberi bayangan penyatuan yang akan berlangsung.
Bagaimanapun, baik Fattah mahupun Fazura, kedua-duanya dalam kenyataan terbaru seperti menafikan spekulasi yang tersebar.
Kata Fattah dalam komen yang dipetik daripada BH Online, "Mungkin semua itu hanya khabar angin kerana supertelefilem lakonan kami berjudul Wanita Terindah akan dilancarkan, esok (hari ini).
"Saya bagaimanapun menganggap ia sebagai doa. Saya pula memang mengharapkan doa yang baik-baik daripada semua."
Pun begitu, Fattah tidak menafikan hatinya menyenangi ciri-ciri yang ada pada aktres itu.
"Dia memang teman artis yang paling rapat dengan saya. Pengalamannya sebagai anak seni banyak dikongsi bersama saya, termasuk cara mengharungi kehidupan dalam industri hiburan. Dia sendiri wanita yang sangat berdikari, pandai membawa diri, positif dan ceria.
"Aura positif yang dimilikinya sangat luar biasa dan mampu mendorong kita untuk menjadi sepertinya," tambahnya.
Mengenai perkembangan terkini, aktor berusia 27 tahun kelahiran ibu kota ini berkata, dia sedang sibuk melunaskan baki penggambaran drama Coffee Prince, bersama pelakon gandingan Janna Nick.
Drama tersebut dijadualkan tayangannya Disember ini.
"Selepas kejayaan Suri Hati Mr Pilot dan Hero Seorang Cinderella, saya tidak melihat drama baharu ini memberikan tekanan kepada saya.
"Saya percaya, setiap drama mempunyai keistimewaannya sendiri. Begitu juga dengan Coffee Prince," dedahnya.
Dalam pada itu, Fazura yang juga Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 turut menafikan khabar angin berita pertunangan mereka.
"Saya sibuk, begitu dengan dirinya. Jadi, macam mana hendak bertunang?" katanya dalam nada terkejut.
Fazura yang akan hadir dengan buah tangan terbaru, album sulungnya pada 3 November ini menegaskan dia tidak sekali-kali menyembunyikan berita gembira itu sekiranya benar terjadi.