loading...

Zairil Sebenarnya Kecewa Pas Mendahului DAP

KUALA LUMPUR – Kenyataan Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari terhadap Pas hanyalah kenyataan daripada orang-orang yang kecewa.

Kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Zairil kecewa kerana Pas telah mendahului DAP dalam arena politik tanah air.

“Kita (Pas) lebih dahulu lawan Umno berbanding DAP. Sejak pilihan raya tahun 1990-an lagi kita bertanding menentang Umno.

“Zairil kena ingat, dia tu baru lagi (dalam politik). Sedangkan Pas sudah ada sejak 1951 lagi,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beberapa hari lalu, Zairil melalui blognya, mempertikaikan kewajaran Pas untuk terus berada dalam politik negara sekiranya parti itu lebih berminat bercakap mengenai keredaan ALLAH berbanding strategi untuk menang dalam pilihan raya.

Menurut Zairil, tulisan itu adalah lebih kepada menyatakan hasratnya, persoalan sama ada Pas serius dalam politik atau sekadar ingin berdakwah.

Mengulas kenyataan Zairil, Tuan Ibrahim berkata, partinya tidak pernah mengubah dasar perjuangan dan prinsip sejak mula ditubuhkan.

Jelasnya, apa sahaja yang dilaksanakan dalam parti bertujuan untuk menyelamatkan umat manusia di dunia mahupun di akhirat.

“Saya agak Zairil tidak faham konsep mencari keredhaan ALLAH. Apa sahaja yang dilakukan dari segi ekonomi, pentadbiran mahupun politik mesti berlandaskan redha ALLAH.

“Pas ada matlamat jangka panjang dan apa sahaja yang dibuat oleh parti ini tidak boleh lari daripada landas agama,” katanya lagi. – Sinar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...