loading...

PAS Sedia ‘Langgar’ PKR Di Selangor Jika Wujud Tiga Penjuru

SHAH ALAM – Pas Selangor akan ‘melanggar’ mana-mana kerusi yang ditandingi PKR di negeri ini sekiranya parti itu tidak lagi menghormati prinsip serta kerjasama politik yang terbentuk sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad (gambar)berkata, Pas tidak akan memberi sebarang jalan kepada PKR andai parti itu kekal dengan pembahagian kerusi menjurus kepada tiga penjuru seperti mana yang dilaporkan baru-baru ini.

“Kita tidak ada masalah (jika PKR, DAP, PAN dan PPBM mengadakan pembahagian kerusi), namun kita telah kenal pasti dan bertegas dengan kerusi yang kita akan tandingi untuk PRU14 nanti.

“Jika pembahagian kerusi itu menjurus kepada formula pertandingan satu lawan satu, kita akan hormati kerjasama (dengan PKR) yang ada sebelum ini, kita akan kekalkan kerusi DUN dan Parlimen yang ditandingi oleh kita.

“Namun, sekiranya pembahagian kerusi membabitkan parti pembangkang itu melibatkan formula pertandingan tiga penjuru atau lebih, maka semua kerusi di Selangor ini kita anggap terbuka, sesiapa sahaja boleh bertanding termasuk Pas sendiri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Smart Strata 2017 di Setia Alam di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus bahawa PKR serta sekutunya iaitu DAP, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah membahagi-bahagikan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tanpa melibatkan Pas untuk pilihan raya umum akan datang.

Difahamkan hasil pembahagian itu, PKR dijangka akan bertanding 18 kerusi DUN diikuti 15 kerusi untuk DAP, manakala PAN serta PPBM masing-masing akan bertanding 14 dan sembilan kerusi.

Dalam perkembangan lain, Iskandar yang juga Naib Presiden Pas menegaskan tiada sebarang penetapan kerusi dibuat di antara parti itu dengan PPBM sebagai mana yang dilaporkan sebelum ini. – UTUSAN



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...